JARINGAN Heberty Fernandes dalam penampilan sulungnya bersama Johor Darul Takzim (JDT) dalam pertemuan menentang Selangor FC pada Sabtu nyata keputusan yang menggembirakan penyokong Harimau Selatan.
Meskipun gagal membolosi pihak lawan pada separuh masa pertama, pemain berusia 34 tahun kelahiran Brazil, yang hadir dari Bangkok United FC itu memastikan JDT mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan apabila menyumbat masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-79.
Duka Selangor FC berterusan apabila penyerang berbisa Bergson da Silva menutup cerita di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dengan jaringan penalti di masa tambahan penghujung perlawanan.
Ia sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah JDT kepada pasukan itu dalam saingan musim ini dengan keputusan 2-0 memihak kepada anak-anak buah Esteban Solari.
Namun, lebih mengujakan adalah aksi cemerlang dipamerkan penyerang import baharu, Heberty Fernandes yang tidak kekok untuk meraih persefahaman antara rakan sepasukan dan taktikal diterapkan jurulatih.
Jaringannya seolah-olah mencetuskan momen dejavu buat penyokong bola sepak tempatan yang sebelum ini pernah disajikan aksi serupa daripada pemain yang baharu pertama kali diturunkan beraksi di atas padang.
Untuk rekod, berikut merupakan lima senarai pemain yang pernah mencipta gol dalam penampilan sulung di saingan Liga Malaysia (Liga M).
1. Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor FC)
Diturunkan buat pertama kali ketika menentang Kedah FC pada saingan 2019, penyerang import Ifedayo Olusegun berjaya menyumbat jaringan hatrik untuk membantu Gergasi Merah menang 3-1 di hadapan penyokong sendiri.
Bekas penyerang Felda United FC dan Melaka United itu berjaya membalas kepercayaan bekas pengendali pasukan, mendiang B Sathianathan apabila membuktikan sentuhan jaringannya masih belum berkarat.
Meskipun penghijrahannya ke Selangor ketika itu mendapat sedikit tentangan dan kecaman daripada penyokong, namun persepsi negatif itu berjaya diubah dengan aksi cemerlang ditampilkan dengan 12 gol berjaya diperoleh daripada 11 penampilan bersama Gergasi Merah pada musim itu.
Merupakan antara tonggak utama Selangor satu ketika dahulu, Ifedayo bagaimanapun berpindah ke pasukan Melaka pada 2022 dan kini mewakili Kedah untuk baki musim 2023.
2. Bergson Da Silva (JDT)
Penyerang sensasi, Bergson Da Silva muncul wira JDT apabila meledak hatrik ketika membantu pasukannya berpesta gol menewaskan Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super 2021.
Merupakan aksi sulung bersama Harimau Selatan, Bergson tidak menunggu lama untuk membentuk gandingan mantap bersama rakan sepasukan lain.
JDT ketika itu yang dibarisi import ternama seperti Mauricio Nascimento dan Gonzalo Cabrera menerima tonik terbaik menerusi kehadiran penyerang kelahiran Brazil itu yang terus menggondol anugerah pemenang kasut emas 2021 dengan 30 jaringan berjaya dihasilkan dalam kesemua pertandingan pada musim tersebut.
Lebih membanggakan, Bergson mencapai jumlah sebesar itu selepas beraksi dalam 27 perlawanan sahaja.
3. Tchetche Kipre (Terengganu FC)
Tchetche Kipre juga turut tersenarai antara pemain terawal yang mencipta jaringan sulung ketika bersama Terengganu FC pada 2017.
Berusia 29 tahun ketika mewakili skuad Penyu, Kipre membuktikan keyakinannya tidak pernah luntur biarpun terpaksa menunggu sehingga lima perlawanan untuk menemui sentuhan pemusnahnya.
Terengganu yang ketika itu beraksi di saingan Liga Perdana, menerima kehadiran import kelahiran Ivory Coast itu pada jendela perpindahan kedua 2017.
Membantu pasukan memenangi perlawanan menentang skuad Perlis, Kipre memperoleh satu gol dalam pertemuan itu yang menyaksikan pasukannya menang dengan keputusan 4-0.
4. Oliver Buff (Selangor FC)
Aksi sulung bekas pemain import Gergasi Merah, Oliver Buff nyata tidak mengecewakan apabila menyumbang dua gol bagi mengesahkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 2021.
Penyerang dari Switzerland itu meletakkan pasukannya di hadapan pada masa kecederaan babak pertama sebelum satu lagi gol dijaringkan pada separuh masa kedua.
Aksi debut pertamanya itu turut mendapat pujian bekas pengendali Selangor, Karsten Neitzel apabila memuji persembahan dipamerkan pemain yang pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012 itu serta semangat kerjasama tinggi yang ditunjukkan di atas padang.
Oliver merupakan antara tiga pemain import baharu yang dibawa masuk Selangor musim itu selain Tim Heubach dan Manuel Konrad yang beraksi di posisi pertahanan.
5. Juan Muniz (JDT)
Seorang lagi pemain JDT, Juan Muniz juga tersenarai dalam pilihan pemain yang menjaringkan gol dalam perlawanan pertama bersama pasukannya.
Diturunkan dalam kesebelasan utama, Juan Muniz membalas kepercayaan pengendali JDT, Esteban Solari dalam aksi Piala Sumbangsih 2023 antara JDT dan Terengganu menerusi jaringan awal pada minit ke-5 perlawanan.
Pemain itu menyudahkan hantaran lintang daripada Bergson Da Silva dengan satu tandukan yang sekali gus menewaskan penjaga gol skuad Penyu, Suhaimi Husin.
Beraksi di bahagian tengah bersama Afiq Fazail dan Hong Wan dalam permain itu, peminat berpuas hati dengan aksi ditampilkan meskipun baru pertama kali beraksi di bawah kendalian Solari.
Sehingga kini, Juan Muniz antara tonggak utama pasukan itu dengan kelibatnya di jentera tengah sentiasa membantu rakan sepasukan menerusi gerakan serta hantaran licik kepada pemain di bahagian sayap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram