Tempang tanpa import Nigeria, skuad Seladang yakin mampu jinakkan Tok Gajah


  • Podium
  • Ahad, 30 Jul 2023

Sekitar sesi latihan skuad Seladang untuk berdepan Sri Pahang FC. — Instagram/perakfcofficial_

MENJELANG perlawanan ke-18 Liga Super, nampaknya aksi kali ini ibarat 'Sunday blues' untuk pasukan Perak FC.

Pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu difahamkan tidak akan mendapat khidmat pemain tengah Nigeria, Sunday Afolabi untuk perlawanan menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad.

Pemain import itu dilaporkan tidak dapat beraksi berikutan mengalami kecederaan, sekali gus menyaksikan situasi itu menjadi tamparan hebat buat skuad Seladang.

Bagaimanapun, kapten Perak, Luciano Guaycochea berkata, pasukan itu perlu fokus dan dan percaya kepada kemampuan pemain yang sedia ada.

"Sunday sudah bersama pasukan ini dalam setiap perlawanan yang berlangsung tetapi kami masih mempunyai pemain lain yang boleh menggantikannya. Bagi kami, semua pemain akan bersedia untuk memberikan terbaik menentang Pahang,” kata pemain kelahiran Argentina itu.

Menjelang perlawanan menentang Pahang nanti, Guaycochea berkata, mereka yakin mampu menewaskan skuad Tok Gajah selepas berjaya meraih kemenangan ke atas Kuching City dengan keputusan 2-1.

Pemain berusia 31 tahun itu percaya bahawa Perak memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan walaupun Pahang berada di tangga keempat liga dengan 34 mata.

“Selepas perlawanan menentang Kuching, suasana pusat latihan berubah dan kami dapat melihat perubahan pemain menjalani latihan dengan penuh keyakinan.

“Pahang berada dalam kedudukan yang baik dalam liga, tidak dinafikan lagi tetapi kami perlu yakin dan percaya dengan apa yang boleh kami lakukan di atas padang.

"Kami mahu keluar dari zon penyingkiran dan berada dalam 10 teratas, jadi kami perlu menang," katanya.

Perak kini berada di tangga ke-11 liga dengan mengutip 13 mata selepas 17 perlawanan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram