SELEPAS dua minggu berehat tanpa sebarang aksi, Sri Pahang FC berjaya mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri apabila menang 1-0 ketika melayani kunjungan Perak FC dalam perlawanan Liga Super pada Ahad.
Perak yang hadir ke Stadium Darul Makmur, Pahang tanpa ketua jurulatih, Yusri Che Lah berjaya mengekang asakan bertubi-tubi dari skuad kendalian Fandi Ahmad.
Pemain import Pahang, Stefano Brundo antara watak utama yang hampir membuka akaun jaringan Tok Gajah menerusi sepakan percuma dan tandukan yang mengenai tiang gawang gol Perak pada minit ke-22.
Stefano hampir berjaya menjaringkan dua gol buat Sri Pahang pada separuh masa pertama. — Facebook/Perak FC
Perlawanan pada separuh masa dilihat sangat seimbang yang mana Perak juga ada menyerang kubu pertahanan Pahang menerusi serangan balas namun gagal disudahi dengan baik.
Bersambung babak kedua permainan, The Bos Gaurus bermula garang apabila lebih banyak mengatur serangan ke kawasan Pahang.
Namun Tok Gajah tidak membenarkan Perak mendominasi perlawanan apabila Kpah Sherman (Pahang) menjaringkan gol pada minit ke-54 selepas rembatannya membolosi gawang gol skuad Seladang.
Selepas jaringan oleh Kpah, perlawanan kembali seimbang apabila kedua-dua pasukan saling membalas serangan ke kubu lawan masing-masing.
Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan yang mana Sri Pahang berjaya mencatatkan kemenangan ke-11 dalam 18 perlawanan.
Kpah berjaya menjaringkan gol sekali gus membantu Pahang mengutip tiga mata penuh. — Facebook/Sri Pahang FC
Walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh, rata-rata penyokong Pahang tidak berpuas hati dengan prestasi dua pemain utama yang membarisi kesebelasan utama Tok Gajah.
"Rafael da Silva baru datang Pahang dah main macam apa entah," kata Hilmi Najib.
"Baqiuddin macam biasa, kalau boleh nak gelecek sampai dalam pintu gol," ujar Ebby Danial Mokhtar.
"Baqiuddin itu memang dilatih cara sepak bola bulan agaknya," jelas Raja Kertas.
"Main bola tamak Baqiuddin itu, tendangan semua ke langit," luah Maini Aretan.
Bagi skuad Perak pula, laman penyokong Perak the YOB berpendapat skuad yang dikendalikan pembantu jurulatih, V Saravanan berjaya menyerap tekanan Pahang.
Bermain dengan taktikal 3-4-3, skuad Seladang dilihat sekali sekala melakukan counter attack.
"Luka Milunovic nampak sedikit sukar bermain sebagai targetman. Perak perlu lebih menyerang dengan memasukkan Seo Seonung dan Luka kembali ke posisi attacking midfield/second striker di separuh masa kedua," katanya di Facebook.
Pahang kini menduduki tangga keempat liga dengan 37 mata, manakala Perak kekal di tangga ke-11 selepas mengutip 13 mata serta merekodkan 11 kekalahan dalam 18 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram