
AKIBAT rasa teruja menjaringkan gol pertama dalam kariernya, seorang pemain muda dilayangkan kad merah dalam satu aksi liga yang berlangsung di Stadium Palogrande, Colombia pada Ahad.
Pemain sayap Once Caldas, Yeiler Valencia dibawa masuk pada penghujung perlawanan antara pasukannya dengan Deportivo Cali ketika mereka memiliki kelebihan tiga gol.
Dia yang lebih kerap diturunkan di posisi bek kanan bagaimanapun diberikan peluang untuk membantu jentera serangan selain ketua jurulatih, Pedro Sarmiento mahu memberikan pendedahan buatnya.
Keputusan itu sememangnya membuahkan hasil apabila pemain berusia 19 tahun terbabit mudah melorongkan bola ke dalam gawang lawan kira-kira 20 minit selepas dia dimasukkan.
Valencia jelas gembira dengan jaringan berkenaan sehingga menjadikannya berlari ke arah penonton untuk meraikan gol tersebut bersama ibunya.
Tindakan berkenaan bagaimanapun membawa padah apabila pemain itu kemudiannya diarahkan untuk meninggalkan padang akibat kad kuning kedua yang diterimanya.
Kapten Once Caldas, Andres Correa dilihat kurang berpuas hati dengan gaya keraian Valencia apabila dia mendekati pemain muda tersebut untuk mengingatkan amaran yang sudah diberikan kepadanya.
Bagaimanapun, perkara berkenaan tidak memberi kesan kepada keputusan akhir perlawanan dengan pasukan Valencia menang selesa 4-0 ke atas Deportivo Cali. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram