KOMEN sinis yang dikeluarkan pemain sayap negara, Faisal Halim pada April lalu memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda berat terhadapnya.
Menerusi satu kenyataan rasmi pada Khamis, badan induk bola sepak negara berkenaan menyatakan penyerang berusia 25 tahun itu akan digantung selama empat bulan dengan sebulan daripadanya berkuat-kuasa secara automatik.
Tindakan berkenaan mengakibatkan perbalahan besar dalam kalangan penyokong dengan segelintir daripada mereka berang dengan denda berat yang dirasakan tidak wajar terhadap Faisal.
Namun, ada juga yang seperti sebulu dengan pendirian FAM mengenai keputusan itu memandangkan terdapat kes-kes sebelum ini yang mana persatuan berkenaan tegas dalam mengenakan denda terhadap pemain dalam Liga Super.
Antara pendirian tanpa kompromi yang sebelum ini diambil adalah ketika mana pemain Perak FA, Firdaus Saiyadi dan penyerang PDRM FC, Shafiq Jamal dikenakan penggantungan selama dua tahun.
Firdaus (atas) merupakan antara produk terbaik skuad belia Perak FA.
Kejadian berkenaan berlaku kira-kira tujuh tahun lalu apabila mereka didapati menggunakan bahan terlarang ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super.
Berdasarkan laporan terdahulu, mereka didapati melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC 2016 selepas didapati ujian air kencing mereka didapati positif.
Hal tersebut memaksa pihak pengurusan kelab melakukan rayuan dengan bekas Setiausaha Agung PDRM FA, Zulkefly Yahya berkata, Shafiq gagal melepasi saringan hanya akibat kecuaian.
Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan menegaskan bahawa pihaknya akan melakukan segala usaha untuk membantu Firdaus.
Bagaimanapun, FAM memilih untuk bertegas dengan keputusan mereka, sekali gus menyaksikan kedua-dua pemain berkenaan terpaksa melupakan hasrat bermain secara profesional selama dua tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram