‘Kalian kekuatan’, hadir di PPC masing-masing, Baddrol dan Radhi mohon doa semua


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Baddrol (kiri) dan Radhi cuba untuk menceburi bidang politik selepas bertahun-tahun mewarnai arena bola sepak negara.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) kali ini dihangatkan dengan penyertaan dua figura bola sepak tanah air, Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din.

Kedua-dua mereka yang sebelum ini pernah memikul tanggungjawab sebagai kapten Kedah FA memilih untuk menceburi bidang politik di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan pengumuman calon yang dibuat PN pada Rabu lalu, Baddrol akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Penampilan pertama pemain berusia 35 tahun tersebut sudah semestinya menjadi bahan bualan ramai dengan dia baru-baru ini mengejutkan penyokong bola sepak tanah air apabila meninggalkan Sabah FC.

Berdasarkan laporan media tempatan, Baddrol tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) bersama dua lagi calon PN bagi DUN Guar Chempedak, Abdul Ghafaar Saad dan DUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat di Dewan Lestari Guar Chempedak, Jerai, Kedah.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 12.40.40

Baddrol (tengah) sebelum ini diumumkan sebagai calon untuk kerusi DUN Gurun.

"Kalian kekuatan, semoga kita kekal istiqomah dalam perjuangan walaupun berbeza parti politik," tulis bekas pemain kebangsaan itu dalam satu hantaran terbaru di Instagram peribadinya.

Sementara itu, tumpuan juga pastinya diberikan ke arah Radhi yang dipilih untuk merebut kerusi DUN Alor Mengkudu yang boleh dianggap sebagai kerusi panas untuk PRN kali ini.

Selain berpengalaman dalam dunia politik sejak 2018, anak jati Pokok Sena, Kedah terbabit berdepan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya, calon berusia 58 tahun berkenaan tiba di PPC yang bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

"Pagi ini, dengan rasa penuh pasrah dan tawakkal kepada ALLAH, kami melangkah masuk ke Dewan Penamaan Calon di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah. Doakan saya dan seluruh jentera PN Alor Setar, semoga ALLAH permudahkan segalanya," tulisnya.

Sebelum ini, Radhi pernah mencuba nasib dalam bidang politik ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk Parlimen Pokok Sena, namun tewas dengan majoriti melebihi 5,000 kepada Mahfuz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram