Bukan jersi atau import baharu, 'The Third Arrival' jadi klu Kedah sambut kehadiran bintang lokal


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Skuad Sang Kenari masih perlu menambah baik beberapa posisi sepanjang jendela perpindahan kedua Liga Super. — Facebook/KDA FC

SEJAK kebelakangan ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak pernah jemu untuk menyajikan kejutan buat penyokong dengan pelbagai tanda tanya mula dibangkitkan di media sosial.

Rabu lalu, kelab Utara tanah air berkenaan mengumumkan pemergian pemain tengah mereka, Lee Tuck yang boleh dianggap sebagai tonggak utama skuad Sang Kenari.

Sepanjang separuh musim di kelab terbabit, pemain naturalisasi negara tersebut menjaringkan lima gol di samping mencipta tujuh bantuan jaringan.

Sumbangan berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu skuad Hijau Kuning ke tangga ketiga Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan.

Pemergian Lee Tuck kemudiannya menyaksikan 1,001 persoalan membanjiri laman media sosial dengan orang ramai mula tertanya-tanya mengenai destinasi baharunya.

Tidak cukup dengan itu, teka-teki mengenai pengganti buat pemain berusia 35 tahun itu turut hangat diperdebatkan memasuki hari-hari terakhir jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

2200302

Kehilangan Lee Tuck dijangka akan memberi tamparan buat stabiliti skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Ketiadaan seorang perancang dalam skuad akan membantutkan peluang KDA FC untuk mendapatkan jaringan, lebih-lebih lagi dengan pemain yang mereka miliki kini tidak mempunyai profil tinggi seperti Lee Tuck.

Bagaimanapun, jawapan yang diharap-harapkan masih tidak lagi diperolehi apabila kelab terbabit terus bertarik-tali menerusi satu lagi hantaran di laman media sosial rasmi mereka.

Perkongsian yang dibuat tersebut disertakan sekeping poster berwarna kuning dengan tahun penubuhan kelab, iaitu 1924 ditulis dengan besar.

Hal berkenaan jelas menyebabkan orang ramai cuba menyimpulkan mesej tersirat yang cuba disampaikan dengan ada yang mengatakan jersi baharu akan dikeluarkan KDA FC.

"Tak sabar nak tengok jersi musim depan sempena kelab bola sepak Kedah yang ke-100 tahun. Harap-harap mengancam lah," kata Azrin Johari.

"Jersi untuk bermain di tempat sendiri dan tempat lawan pun tidak laku, nak keluarkan jersi 'third' nak buat apa?" soal Shahrul Hanif.

"Datang lagi jersi baharu, harap-harap cop sponsor Bin Ziyad akan terus dikekalkan," ujar Alfie AS.

364014737_321168023597715_944976837611964620_n

Pelbagai teori mula dibangkitkan mengenai hantaran tersirat yang dibuat KDA FC. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, melihat kepada situasi kelab ketika ini, tanggapan terbabit boleh dianggap sedikit tersasar memandangkan kelab itu sudah memiliki pelbagai pilihan warna jersi.

Selain itu, dengan terdapat separuh musim untuk diharungi, pihak pengurusan pastinya tidak mahu terburu-buru untuk membuat pelancaran kit baharu buat tahun akan datang.

Di samping itu, kapsyen kepada hantaran tersebut yang berbunyi 'The Third Arrival' pada 2 Ogos akan datang sewajarnya menjadi fokus utama di sebalik teka-teki tersebut.

Melihat kepada struktur kewangan pasukan, mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyambar sekurang-kurangnya seorang pemain baharu di mana-mana posisi.

Pemergian Lee Tuck dijangka akan mengurangkan lagi perbelanjaan pasukan, sekali gus membuka pintu lebih luas untuk mengalu-alukan kehadiran rekrut ketiga musim ini.

Tetapi, dengan kuota import mereka sudah dipenuhi sembilan pemain, terdapat kemungkinan besar skuad Sang Kenari bakal diperkuatkan seorang anak jati tempatan.

Berdasarkan khabar angin, terdapat kemungkinan KDA FC akan menerima seorang pemain pertahanan dengan bek kiri Selangor FC, Khuzaimi Piee disebut-sebut sebagai calon utama.

Selain itu, penyerang terpinggir Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad juga dikatakan dengan kepulangan ke kelab Utara tanah air tersebut memandangkan terdapatnya hubungan baik antara pemilik kedua-dua pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram