Ketiadaan Faisal Halim beri masalah kepada Selangor, Cheng Hoe akui anak buah sukar kawal JDT


  • Podium
  • Ahad, 30 Jul 2023

Barisan pemain meraikan kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC. — Facebook/MFL

KETUA jurulatih pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan prestasi semua pemainnya susulan kejayaan menewaskan pasukan Selangor FC 2-0 pada Sabtu.

Jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, ia merupakan perlawanan yang amat mencabar, apabila menghadapi lawan yang kuat.

"Perlawanan yang cukup mencabar sebagaimana yang saya katakan sebelum perlawanan. Namun, kita tampil dengan persediaan untuk ke final, kadang kala amat sukar untuk membaca perlawanan sebegini, tapi saya gembira dengan persembahan pasukan kami.

"Kami mengawal perlawanan sejak permulaan sehingga akhir. Memang ada beberapa peluang yang terlepas kerana terlalu ramai pemain lawan yang berada di bahagian pertahanan,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.

WhatsApp Image 2023-07-30 at 11.43.16

Pemain pertahanan muda JDT, Feroz Baharudin mengawal kemas bola daripada terus dikawal Gergasi Merah. —Facebook/MFL

Esteban turut memuji penyerang JDT baharu, Heberty Fernandes, yang berjaya menjaringkan gol dalam kemunculan pertamanya semasa permainan memasuki separuh masa kedua.

"Heberty masih baru, kita perlukan lebih ramai pemain seperti dia, dia juga perlukan masa memandangkan baru sampai ke sini, dan dia adalah pemain yang perlu kita bentuk. Saya gembira dia dapat jaringkan gol,” katanya.

Sementara itu pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan persembahan dan semangat yang ditunjukkan pasukannya meskipun tewas di tangan pasukan teratas liga.

Cheng Hoe turut berkata, persembahan yang ditampilkan anak buahnya yang cuba untuk menyekat kemaraan JDT harus dipuji meskipun mengakui kehebatan dan kelincahan pasukan lawan itu.

"Memang perancangan hari ini cuba nak curi satu mata di sinilah, tetapi secara keseluruhan saya lihat pemain kita cukup disiplin dan berada di tahap yang berlainan dan kita tahu JDT dari segi kemahiran cukup tinggi, sebab itu kita tidak dapat mengawal perlawanan.

"Kehilangan Mickey (Mohamad Faisal Halim) memang sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan tetapi ini adalah lumrah dalam bola sepak, ada pemain yang direhatkan dan ada yang mengalami situasi tonggak utama cedera dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, hasrat kelab itu adalah untuk kekal di tangga kedua, justeru Selangor FC perlu memantapkan lagi permainan pada masa hadapan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram