PADA Rabu, peminat Sang Kenari dikejutkan dengan berita kurang gembira apabila tonggak naturalisasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Andrew Tuck mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut selepas hanya enam bulan menabur bakti bersama kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.
Sepanjang separuh musim di kelab terbabit, pemain naturalisasi negara tersebut menjaringkan lima gol di samping mencipta tujuh bantuan jaringan.
Sumbangan berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu skuad Hijau Kuning ke tangga ketiga Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan.
Namun sudah adat dalam permainan bola sepak menyaksikan seseorang pemain itu akan berhijrah ke pasukan lain dengan tujuan untuk mengembangkan lagi kerjaya ataupun mendapat tawaran yang lebih lumayan.
Berikut Majoriti menyenaraikan empat pemain dari Lembah Klang yang kini berada dalam radar Sang Kenari untuk menggantikan bekas pemain import KDA FC itu.
Bekas pemain KDA FC, Lee Tuck memilih mengundurkan diri daripada pasukan tersebut.
1) Jeneral tengah KL City FC
Pemain naturalisasi kebangsaan KL City FC antara nama yang disebut-sebut menjadi pengganti bekas import Sang Kenari kerana corak permainan yang agresif ditampilkan selain sering melakukan percubaan berbahaya.
Memiliki tindakan penyudah yang tajam di hadapan pintu gol, larian deras pemain berketinggian 1.84 meter itu pastinya diperlukan oleh pasukan Sang Kenari untuk mempertajamkan jentera serangan kelab tersebut.
Mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Kelantan FC, pemain tersebut berjaya mencuri tumpuan penyokong tanah air selepas menghasilkan hatrik.
Pemain kelahiran Brazil itu merekodkan tujuh gol dan lima hantaran bantuan selepas 17 perlawanan Liga Super berlangsung.
Pemain sayap KL City FC. — Instagram/jpartiban16
2) Pemain sayap KL City FC
Bukan sahaja jeneral tengah itu, malah pemain sayap Warga Kota turut mendapat perhatian daripada penyokong KDA FC yang menginginkan khidmatnya.
Pemain berusia 30 tahun itu berkebolehan untuk diturunkan dalam tiga posisi berlainan di kiri ataupun kanan sayap serta tengah menyerang di bahagian kiri.
Berketinggian 1.75 meter, J. Partiban merupakan pemain kidal yang memiliki sepakan padu dari jarak jauh yang mampu menjadi senjata.
Meskipun sekadar memiliki lima penampilan keseluruhan bersama KL City, keupayaan pemain itu diyakini mampu dibuktikan sekiranya peluang diberikan kepadanya khususnya minit permainan yang lebih.
Setakat ini, Partiban mencatatkan satu gol dalam lima penampilan Liga Super 2023.
Halim Shaari antara pemain yang dikaitkan dengan Kedah ketika ini.
3) Pemain tengah Selangor FC
Pernah beraksi bersama skuad Hijau Kuning, bekas pemain KDA FC itu dkhabarkan bakal kembali menyarungkan jersi pasukan tersebut.
Khidmat anak jati negeri Jelapang Padi itu ditagih bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Lee Tuck sebelum ini.
Memiliki ketinggian 1.78 meter, bekas pemain tengah kelab Selangor itu mempunyai kebolehan untuk memimpin kawasan tengah padang dengan tegas.
Bukan itu sahaja, nama Halim Shaari juga sering meniti bibir penyokong kerana terkenal dengan hantaran-hantaran jauh yang tepat ke bahagian serangan.
Kehadirannya pasti menambah ketajaman bahagian serangan pasukan Sang Kenari dengan kreativiti yang diterapkan selain turut membantu memperkasakan jentera pertahanan.
4) Pemain pertahanan Selangor FC
Tonggak utama Selangor FC turut menjadi salah satu yang kini berada dalam radar Sang Kenari.
Ini kerana, kelebihan bakat muda kelab itu menampilkan aksi yang cukup baik apabila bermain di bahagian pertahanan Gergasi Merah mahupun skuad kebangsaan.
Pemain kelahiran Selangor itu menjadi perhatian Sang Kenari untuk memperkuat barisan pertahanan mereka kerana dilihat menampilkan aksi yang cukup cemerlang dalam setiap perlawanan.
Pemain berusia 23 tahun itu juga mencatatkan cleansheet sebanyak enam kali dan setakat ini merekodkan satu gol dalam 17 perlawanan liga musim ini.
Bukan itu sahaja, pemain berketinggian 1.72 meter itu pernah digelar antara pemain pertahanan terbaik Liga Super 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram