Safuwan Baharuddin kembali menyinar, tutup mulut pengkritik selepas diamkan Bergson


  • Podium
  • Ahad, 30 Jul 2023

Antara aksi Safuwan ketika menentang JDT pada Sabtu. — Facebook

"WHAT a comeback."

Itulah pujian yang dilontarkan kepada pemain pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin oleh penyokong Gergasi Merah selepas melihat aksinya menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Sabtu.

Safuwan sebelum ini mendapat kecaman daripada pelbagai sudut selepas dia memilih untuk menamatkan kontrak bersama Negeri Sembilan FC dan kembali menyertai Selangor.

Dalam perlawanan itu, Safuwan berjaya mengunci pergerakan penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva yang buntu untuk menjaringkan gol.

Malah pertahanan berusia 31 tahun itu berjaya menjaringkan gol pada awal minit permainan sebelum pengadil membatalkan jaringan tersebut kerana kedudukan ofsaid.

Safuwan juga banyak memenangi perebutan bola di udara jikalau pemain-pemain JDT menghantar bola di dalam kotak penalti Selangor.

Gandingan Safuwan dan Yazan Al-Arab di benteng pertahanan Selangor dikawal dengan baik yang menyebabkan pemain JDT sukar mencari gol awal.

JDT hanya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-79 selepas bola yang dihalang oleh Safuwan terkena kaki pemain import baharu JDT, Heberty Fernandes.

Bergson berjaya mencatat nama selaku penjaring menerusi sepakan penalti selepas Harith Haikal melakukan terjahan keras ke atas pemain kelahiran Brazil di dalam kotak penalti.

Keputusan kekal 2-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Safuwan B

Safuwan kembali menyertai Selangor selepas meninggalkan Gergasi Merah enam bulan lalu. Facebook/Selangor FC

Meskipun Selangor tidak berjaya mencuri satu mata di SSI namun persembahan yang ditunjukkan mereka mendapat pujian daripada orang ramai.

Lebih-lebih lagi persembahan Safuwan yang dilihat berjaya menutup segala kritikan penyokong yang tidak bersetuju pemain Singapura itu kembali ke pangkuan Selangor.

"Safuwan dikecam hebat musim lepas tetapi bila dia kembali, dia bagi segalanya untuk Selangor," kata Mael Isac.

"Safuwan tunjukkan dia seorang pemain pertahanan yang sangat berkualiti," jelas Abd Aziz Amin.

"Memang nampak Safuwan paling banyak buat kerja semalam (Sabtu), pandai baca perlawanan, walaupun fizikal tak besar mana," ujar Khairul Nizam.

"Banyak Safuwan selamatkan bola, tapi gol pertama JDT itu tal boleh buat apa, sebab terkena balik dekat pihak lawan," luah Mohd Zaidi.

Selangor kini terus gah di tempat kedua Liga Super dengan mengumpul 40 mata walaupun tewas di tangan JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram