TEKA-TEKI pengganti bekas penyerang import Penang FC, Giovane Gomes semakin hampir diperkenalkan oleh Penang FC selepas pasukan itu mengikuti salah seorang pemain di sosial media.
Penyerang itu juga sudah pun meletakkan nama Penang FC di media sosial sebagai tanda sudah pun menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Manzoor Azwira itu.
Individu yang disebut-sebut itu adalah Abdeen Temitope Abdul yang merupakan seorang penyerang kelahiran Ireland-Nigeria.
Pemain berusia 28 tahun itu musim ini beraksi di Albania bersama KF Skenderbeu dan berjaya menjaringkan 12 gol dalam 24 penampilan.
Jika perkhabaran ini terjadi, ia merupakan kelab pertama Abdeen di Asia kerana sebelum ini dia hanyak beraksi dalam Eropah dengan beberapa buah negara seperti England, Norway, Malta dan Albania.
Rekod Abdeen bersama pasukan-pasukan terdahulunya boleh dikatakan lengkap sebagai seorang penyerang yang mana dia mencatatkan 35 jaringan dalam 70 penampilan di empat buah negara.
Selain beraksi sebagai penyerang, Abdeen juga boleh bermain di sebelah sayap kanan sekali gus memberikan kelebihan buat Penang FC untuk mempelbagaikan taktikal ketika menyerang.
Abdeen berjaya membantu KF Skenderbeu menjuarai divisyen kedua Liga Albania. — Instagram
Abdeen mempunyai larian yang pantas serta memiliki ketenangan di hadapan gawang untuk menjaringkan gol buat pasukannya.
Kejayaan terbesar Abdeen ialah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dan membantu pasukannya, KF Skenderbeu menjuarai divisyen kedua Liga Albania.
Dalam pada itu, Penang FC secara rasminya sudah mengumumkan Abdeen sebagai pemain import baharu Harimau Kumbang bagi menggantikan Gomes yang ditamatkan kontrak lebih awal oleh pihak pengurusan.
Menjadi persoalan adakah Abdeen mampu meneruskan kecemerlangannya di Albania bersama Penang FC sekali gus dapat membantu Harimau Kumbang memperbaiki kedudukan dalam liga sertia Piala Malaysia? Sama-sama kita akan nantikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram