AKSI ke-18 Liga Super 2023 menyaksikan finalis Piala FA, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) tidak berdepan masalah untuk membenam Kelantan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur itu menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi percubaan pemain import, Leonardo Rolon seawal minit ke-3.
Tidak mahu terus dibolosi, The City Boys menggandakan asakan untuk menembusi gawang gol The Red Warriors (TRW).
Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila perancang tengah pasukan, Zhafri Yahya melepaskan rembatan melepasi kawalan Johan Shahzidane pada minit ke-25.
J.Partiban menambah jaringan pada minit ke-83 meletakkan kedudukan 4-1 sebelum Morales muncul hero dalam perlawanan tersebut.
Kelantan FC terpaksa berputih mata selepas gagal mempertahankan benteng pertahanan selepas dengan mudah dirobek oleh tuan rumah.
Sebahagian aksi barisan pertahanan KL City FC ketika mempertahankan gawang mereka. — Facebook/MFL
Namun begitu, penyokong bola sepak tanah air dikejutkan dengan hatrik yang berjaya dihasilkan oleh penyerang kelahiran Colombia, Romel Morales pada minit ke-47,ke-65 dan gol kemenangan saat-saat akhir.
Dalam pada itu, keputusan di Stadium Cheras tersebut mendapat pujian daripada pembantu jurulatih KL City FC, Miroslav Kuljanac.
"Hasil yang baik untuk pasukan ini, pastinya ada yang mengatakan bahawa pasukan lawan tidak begitu kuat tetapi kalau pasukan kami kalah, ia sebaliknya. Tapi paling penting kami menang dan saya sangat gembira dengan keputusan ini.
"Saya mahu mereka mengawal permainan dengan baik dan kami banyak mencipta peluang, jelasnya kami dapat lima jaringan," katanya.
Selain itu, Kuljanac turut memuji prestasi yang ditampilkan oleh penyerang berbisa Warga Kota, Morales berikutan hatrik yang dihasilkan.
"Ketika saya melihat dia dalam sesi latihan, saya sangat percaya bahawa dia seorang pemain yang sangat berbakat dalam bola sepak.
"Saya percaya Morales mampu memberikan yang terbaik kerana dari segi sentuhan bola, cara bermain, menggelecek dan kemahiran teknikalnya menggambarkan bahawa dia seorang yang berbakat," katanya.
Sepanjang perlawanan tersebut, Kuljanac juga memberikan semangat kepada barisan pemain The City Boys yang dilihat kurang bersemangat berikutan kehilangan ketua jurulatih, Bojan Hodak yang dilaporkan meletakkan jawatan baru-baru ini.
Bekas pengendali KL City FC, Bojan Hodak meninggalkan KL untuk berhijrah ke negara jiran bagi membantu kelab Persib Bandung yang kini berada di kedudukan tiga tercorot Liga Indonesia.
"Saya beritahu mereka agar bermain bersungguh-sungguh, bermainlah untuk diri sendiri, keluarga dan karier sebagai pemain bola sepak profesional," kongsinya.
KL City FC kini berada pada kedudukan keenam carta Liga Super dengan mengutip 28 mata jauh meninggalkan Kelantan FC yang kekal tangga terakhir liga dengan hasil lima mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram