Selangor FC jelaskan keadaan Richmond Boakye, dedah punca utama dibawa keluar awal


  • Podium
  • Ahad, 30 Jul 2023

Boakye mengalami 'cerebral concussion' selepas pelanggaran dia bersama Somerville. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC mengesahkan Richmond Boakye tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius selepas pelanggaran dia bersama Samuel Somerville dalam perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu.

Suasana cemas di Stadium Sultan Ibrahim, Johor timbul apabila penyerang Ghana itu tidak sedarkan diri.

Sebaik menyedari situasi kecederaan yang dialami bekas penyerang Juventus itu, pasukan perubatan kedua-dua pasukan segera berlari masuk ke padang bagi memberi rawatan.

Situasi cemas ini kemudiannya reda apabila Boakye memberi maklum balas positif dan kembali sedar.

Boakye dikeluarkan pada minit ke-18 dan digantikan dengan Quentin Cheng selepas dia tidak dapat meneruskan perlawanan sehingga wisel penamat.

Boakye

Pasukan perubatan Selangor dan JDT memeriksa keadaan Boakye. — Facebook/Selangor FC

Dalam pada itu Selangor mengeluarkan kenyataan di media sosial bahawa Boakye sudah pun mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Richmond Boakye telah dikeluarkan awal semasa perlawanan menentang JDT selepas mengalami kecederaan kepala, ‘cerebral concussion’.

"Mengikut prosedur perubatan bagi kecederaan ini, pemain yang terlibat hendaklah dikeluarkan dari perlawanan serta-merta bagi pemantauan, pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Selepas diteliti dan melalui prosedur yang telah ditetapkan, dia kini telah pulih daripada simptom dan tanda-tanda ‘cerebral concussion’ serta pemeriksaan lanjut menunjukkan tiada kecederaan lain," katanya.

Barisan perubatan Selangor FC kini sedang memantau rapi kesihatan dan situasi yang dialami oleh Boakye ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram