"SEKURANG-KURANGNYA kita kena kenang juga jasa dia."
Itulah luahan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah terhadap keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman empat bulan terhadap Faisal Halim atas kesalahan mengeluarkan kenyataan ketika ditemubual media pada April lalu.
Bekas jurulatih Kedah itu berkata, dia turut bersedih dengan penggantungan Faisal serta mencadangkan hukuman yang lebih ringan terhadap pemain itu.
"Saya tumpang sedih dengan penggantungan Faisal orang kata sebagai pemain utama kebangsaan, saya rasa penggantungan itu sangat berat.
"Apa salahnya kalau memadai dengan satu surat amaran keras untuk pemain selepas ini berhati-hati dengan komen yang diberikan," katanya pada Majoriti.
Azraai mencadangkan FAM memberikan hukuman yang lebih ringan kepada Faisal. — Facebook/Kedah FA
Azraai turut berpendapat, penggantungan Faisal ini akan memberikan kesan negatif serta kerugian buat Harimau Malaya tambah lagi perlawanan antarabangsa akan tiba tidak lama lagi.
"Selepas ini akan ada perlawanan persahabatan antarabangsa, kalau Faisal digantung empat bulan semestinya akan menjadi satu kerugian buat Harimau Malaya.
"Ya tindakan FAM agak drastik, dia masih boleh perform dan masih muda," jelasnya.
Faisal digantung selama empat bulan oleh FAM. — Facebook
Faisal sah digantung oleh FAM selama empat bulan susulan kenyataan media yang dibuat olehnya selepas menentang Sabah pada 27 April yang lalu.
Hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula 25 Julai sehingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.
Faisal musim ini menjadi tunjang utama skuad bimbingan Tan Cheng Hoe apabila meledak lapan gol dan mencatat lapan assist dalam 18 perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram