Legenda Kedah sedih kehilangan Lee Tuck, rekomen pengganti sesuai buat Hijau Kuning


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Lee Tuck dikhabarkan bakal menyertai Selangor FC.

PERPISAHAN Lee Andrew Tuck bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ternyata beri kesan kepada seluruh penyokong Hijau Kuning atas kehilangan arkitek utama 'Nafuzi Ball' itu.

KDA FC membuat pengumuman mengejut apabila mengesahkan pemain naturalisasi kebangsaan itu berpisah dengan Sang Kenari walaupun baru menyertai mereka awal musim lalu pada Rabu.

Khabar angin perpindahan Lee Tuck ke Selangor FC semakin hangat diperkatakan penyokong bola sepak di negara ini.

Meskipun tiada pengesahan daripada mana-mana pihak, namun penyokong seperti dapat menghidu destinasi terbaharu Lee Tuck seolah-olah bakal menyertai Selangor, ditambah pula dengan penggantungan Faisal Halim selama empat bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Setakat ini, pemain berusia 35 tahun itu berjaya melakukan lima jaringan serta tujuh bantuan gol dalam 15 penampilan dalam perlawanan Liga Super.

Bersama skuad kebangsaan, Lee Tuck berjaya menghasilkan tiga gol, satu assist dalam sembilan perlawanan sejak bergelar pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Lee Tuck

Lee Tuck musim ini beraksi bersama KDA FC. Facebook/KDA FC

Bekas jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah berkata, kehilangan Lee Tuck semestinya akan memberikan kesan terhadap corak permainan KDA FC.

"Sudah tentu selepas kita tengok performance dia dan komitmen dengan pasukan serta terpilih antara midfield terbaik... tentunya kehilangan Lee Tuck akan beri satu impak buat KDA FC," katanya pada Majoriti.

Azraai turut menambah sebagai orang ketiga, semua pihak harus menyokong keputusan pihak pengurusan KDA FC untuk membawa masuk mana-mana pemain untuk menggantikan Lee Tuck.

"Sebagai orang ketiga kita tak berhak untuk komen sebab kita kena faham pihak pengurusan dan jurulatih lebih memahami dan lebih peka.

"Cuma kita rasa kehilangan dia itu satu impak, kalau mereka (Kedah) nak ganti pertahanan atau apa-apa pun sudah pasti mereka ada perancangan untuk buat sesuatu," ujarnya.

Lee Tuck berjaya menghasilkan tiga gol, satu assist dalam sembilan perlawanan bersama Harimau Malaya. Facebook/FAM

Bekas pengendali Kedah itu juga mencadangkan nama kapten Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue sebagai pengganti ideal untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lee Tuck.

"Sekarang ini saya rasa Kedah kalau posisi itu dalam negara kita tak lain tak bukan Paulo Josue.

"Dengan dia punya kelebihan, kalau dapat Josue dia akan jadi lebih daripada Lee Tuck kerana sepakan percuma dia bagus, killer pass dia punya performance dalam skuad kebangsaan membuktikan.

"Kalau nak cari pemain naturalisasi itulah individu yang mencapai piawaian kita," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram