JARINGAN penyamaan lewat pertahanan Negeri Sembilan FC, Herold Mark Goulon menyaksikan Terengganu FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata dalam saingan Liga Super di laman sendiri pada Jumaat.
Meskipun tampil dengan aksi memberangsangkan sepanjang 90 minit permainan, skuad Sang Penyu hanya berjaya mendapatkan satu gol menerusi Ivan Mamut.
Tidak cukup dengan itu, moral pemain di benteng pertahanan turut diperhangatkan apabila penjaga gol, Suhaimi Hussin menyelamatkan tendangan penalti Goulon pada separuh masa pertama.
Namun, harapan mereka untuk meraih tiga mata tidak kesampaian selepas bek tengah skuad Jang itu menyamakan kedudukan menerusi tandukan deras pada minit ke-89.
Kegagalan untuk meraih kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC semakin sukar untuk mengejar pasukan di tangga kelima, Sabah FC dengan kedua-dua pasukan kini terpisah dengan tujuh mata.
Lebih menggusarkan lagi, terdapat juga kemungkinan kelab Pantai Timur berkenaan akan terus jatuh dalam carta Liga Super dengan Kuala Lumpur (KL) City FC semakin menghampiri mereka.
Harapan skuad Sang Penyu untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas semakin samar. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, tidak hairanlah apabila pengendali skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berasakan keputusan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu boleh diibaratkan sebagai kekalahan buat mereka.
"Sebelum ini, kita pernah menjaringkan gol penyamaan lewat ketika berdepan Sabah FC dan saya berasakan itu sebagai satu kemenangan.
"Tetapi, hari ini, saya berasakan kita kalah kerana pada separuh masa kedua permainan, saya tahu kita mempunyai peluang lebih baik," katanya.
Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan yang mana menyaksikan mereka kekal di tangga keenam.
Dalam masa sama, Tomislav turut memberi pandangannya mengenai pertikaian terhadap jaringan penyamaan Negeri Sembilan FC yang dirasakan pemain Terengganu FC tidak melepasi garisan gol.
"Saya rasa kita kalah dalam perlawanan ini selepas dibolosi gol minit-minit akhir daripada situasi sepakan sudut, tetapi saya tidak tahu sama ada ia adalah gol atau tidak.
"Pengadil mengatakan bola sudah melepasi garisan, namun saya sendiri belum sempat menonton ulang tayang. Itu sahaja yang dapat saya katakan," katanya lagi.
Selepas ini, skuad Sang Penyu akan bersiap sedia untuk aksi Piala Malaysia berdepan KL Rovers di tempat lawan pada Jumaat dalam usaha mereka menghidupkan semula satu musim yang suram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram