FAS pernah ikut cara FAM, beri tempoh 14 hari denda kelab amatur lepas pukul pengadil


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Jeevananthan (tiga dari kanan) berdepan dengan pemain MPSJ (berbaju biru) semasa perlawanan.

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menggantung tonggak Selangor FC, Faisal Halim selama empat bulan menjadi topik perbualan sejak kebelakangan ini sehinggakan banyak cerita lama mengenai hukuman dari badan induk itu dibangkitkan semula.

Seperti sebelum ini pihak FAM pernah memberi hukuman menggantung bekas penyerang import Terengganu FC, Paulo Rangel selama enam bulan dan didenda sebanyak RM3,000 susulan menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil.

Selain daripada FAM, Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga pernah membuat tindakan sama apabila pernah mengenakan denda berjumlah RM16,00 kepada pasukan bola sepak amatur, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada sembilan tahun lalu.

Menerusi laporan media pada 28 Jun 2014, Jawatankuasa pertandingan FAS yang diketuai Datuk Emran Kadir mendapati MPSJ bersalah kerana menyerang pengadil, P. Jeevanathan selepas perlawanan akhir Liga Super FAS menentang PNSB di Kompleks Sukan MPSJ pada 20 Jun 2014.

Sejurus selepas Jeevanathan meniup wisel penamat yang mana menyaksikan PNSB menang 1-0 ke atas pasukan lawan, beberapa pemain serta pegawai MPSJ bergegas ke padang dan menyerang pengadil.

Jawatankuasa itu mendenda MPSJ RM3,000 kerana menyerang Jeevanathan dan empat pegawainya yang bertindak untuk tidak menghadiri majlis penyampaian hadiah iaitu Muhammad Zaki Yusoff, Wan Azahar Mustaffa, Mohd Sharinan Mansor dan Mohd Reyzal Mazlan didenda RM1,000 setiap seorang.

faisal isi

Hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula 25 Julai hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik Faisal selama setahun bermula 24 Ogos. — Facebook/SelangorFC

Manakala 18 pemain; Mohd Suhaizi Zainul, Muhammad Zi Zulkeplee, Mohd Afiq Akmal Zunaidi, Carlos Benjamin Goonting, Muhammad Hidayat Syaiful, Mohd Firdaus Mokhtar, Mohd Saffuan Ibrahim, Mohd Solihin Shahran, Khairul Muzhafar Abdul Ghani, Mohd Yusof Nordin, Mohammad Farhan Zainal, Fairuz Montana Zainal Abidin, Amirrul Adli Yussli, Mohamad Akbar Khamis, Mohd Latiff Mohd Taib, Sahril Shaibon, Mudhairi Musa dan Amerrul Hisyam Amran; masing-masing didenda RM500.

Keputusan jawatankuasa itu berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Jeevanathan, penolong pengadil Halim Syah Abdul Halim dan Mohd Khairul Nizam Radzali, penyelaras venue George Sebastian dan penyelaras pengadil S. Selearajan.

Emran berkata, mereka sudah meneliti laporan terperinci dan hukuman yang dikenakan adalah mengikut peraturan pertandingan.

“Kami juga telah memanggil pegawai perlawanan dan pegawai pasukan dari MPSJ untuk perbicaraan. Kami sememangnya sedih kerana perlawanan itu adalah yang terakhir dalam musim ini.

"Malangnya ia terpaksa berakhir dengan cara sebegitu rupa. Sebaik menerima surat daripada FAS, MPSJ mempunyai 14 hari untuk membayar denda," katanya pada sembilan pada tahun lalu.

Selain daripada insiden menyerang pengadil, perlawanan itu turut dicemari dengan insiden lain pemain daripada kedua-dua pasukan terlibat dalam pergelutan sehingga Jeevanathan mengarah keluar padang pemain PNSB Mohd Azri Mohamad Amin dan Mohd Latiff dari MPSJ pada minit ke-80.

Gol kemenangan PNSB ketika itu, terhasil pada masa tambahan separuh masa kedua apabila kapten pasukan itu, Azhari Hamzah menjaringkan gol daripada sepakan percuma.

Dalam pada itu, selepas hukuman sudah diputuskan kepada MPSJ, pihak FAS juga mempertimbangkan untuk memberi denda kepada tiga pemain dan penolong pengurus pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram