Tak mahu ganggu siasatan polis bukan alasan, FAM boleh saja keluar kenyataan lebih awal


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Gambar mangsa dipukul (kiri) yang dikongsikan kepada Majoriti dan tangkap layar insiden luar padang yang melibatkan pergaduhan dalam kalangan penyokong.

SEBELUM ini kecoh apabila seorang penonton ketika perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC, mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 24 Julai lalu.

Lelaki berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi, keesokan harinya.

Dia difahamkan telah mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Lelaki berkenaan disahkan mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

Dalam kekecohan itu, ramai penyokong mempertikaikan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang hanya mengambil langkah berdiam diri berhubung insiden berkenaan.

Bagaimanapun, setelah seminggu berlalu, akhirnya FAM tampil mengeluarkan kenyataan media menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa badan induk itu lambat bertindak dalam menangani isu tersebut.

FAM dikecam kerana mengeluarkan kenyataan media selepas seminggu pergaduhan itu berlaku.

Sebaliknya, mereka berbuat demikian sebagai menghormati kes tersebut yang sudah pun berada di bawah pemantauan pihak polis.

Justeru, sudah pasti FAM tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi turut menegaskan, pihaknya menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak, tidak kira sama ada ia berlaku dalam atau di luar padang yang membabitkan penyokong mahupun penonton.

Meskipun FAM sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi mereka, masih ramai peminat yang meluahkan kekecewaan terhadap badan induk itu yang dikatakan lambat dan kurang tegas dalam mengambil tindakan berhubung sesuatu isu yang timbul.

Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, FAM menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak.

Malah, muncul dakwaan sesetengah penyokong bola sepak tempatan yang menyifatkan FAM tidak segera memberikan kenyataan.

"Walaupun dalam siasatan polis, FAM boleh saja beri kenyataan berita awal mengutuk kejadian itu dan jadikan (ia satu) pengajaran, jangan buat keganasan.

"Ini dah beberapa hari kejadian terjadi termasuk media utama cover kes ini korang masih senyap? Banyak sangat pusing cerita FAM ni," tulis FM Malaysia.

"Tahu tak apa, lambat betul. Tak sabar nak tengok rakyat Malaysia bersorak untuk 'hooligan'," kata Amie Pak Din.

"Bab membidas cepat pula keluar kenyataan. Kenapa tidak ada siaran media untuk ulasan kes berkaitan," kata Wann De Karim.

JDT terus melakar rekod cemerlang dalam saingan Piala FA selepas menundukkan KL City FC 2-0 di pentas final. — Bernama

"Setidak-tidaknya buatlah kenyataan awal, bukan diam sahaja, tunggu dah seminggu jadi baru nak cakap itu ini," ujar Khairul.

"FAM memang lambat, fans Selangor dan Perak bergaduh dalam stadium siap masuk live Astro. Berlari-lari bergaduh, FAM tidak ada ambil tindakan pun.

"Bukan lambat tapi tidak ada tindakan diambil, tak mungkin FAM pilih-pilih pasukan nak denda?" soal MitrAgyna Speciosa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram