Kecil-kecil cili padi, Arif Aiman antara 3 bintang berbisa mengganas di padang


  • Podium
  • Selasa, 04 Jul 2023

Mempunyai tubuh yang kecil bukan penghalang bagi Arif Aiman terus mengganas di padang. — Facebook/Johor Southern Tigers

TERDAPAT pelbagai faktor yang mempengaruhi prestasi permainan seseorang pemain apabila beraksi di atas padang seperti tahap kecergasan, kekuatan fizikal, corak permainan dan sebagainya.

Ciri-ciri tersebut juga bergantung kepada posisi pemain berkenaan supaya peranan mereka dapat dimanfaatkan sebaiknya dan seterusnya dapat mengawal permainan.

Sering kali dilihat pemain bola sepak terutamanya pemain import biasanya mempunyai ketinggian di antara 1.75 meter (m) hingga 1.9 m yang memberikan mereka kelebihan khusus terutamanya mampu mengambil hantaran tinggi dan sebagainya.

Namun bagi pemain bertubuh kecil, ia bukanlah satu penghalang untuk terus mengganas dalam padang kerana mereka juga mempunyai ciri khusus untuk peranan masing-masing.

Kecil-kecil cili padi, pemain berketinggian sebegitu selalunya pantas dan mampu mengelecek dengan baik, menyukarkan pihak lawan untuk menyaingi mereka.

Berikut merupakan tiga pemain yang Majoriti senaraikan sebagai pemain bertubuh kecil, namun berbisa bila beraksi di padang:

Arif Aiman Mohd Hanapi

Siapa sahaja tidak kenal dengan nama pemain sayap muda sensasi ini yang semakin meningkat naik berikutan prestasi cemerlang di kelab Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun berketinggian 1.7 m, anak kelahiran Pahang ini membuktikan mampu memberikan aksi mengancam apabila berjaya menjaringkan lima gol dan sembilan assist sepanjang 14 penampilannya dalam Liga Super 2023.

Tidak cukup dengan itu, penerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 dan 2022 itu juga mengumpul keseluruhan 14 gol musim ini dalam Piala FA dan lima gol bersama bersama skuad Harimau Malaya.

357787409_744725480992516_1419883022904549777_n

Faisal Halim (kiri) turut memaparkan prestasi memberansangkan dengan jaringan gol serta assist yang banyak pada Liga Super musim ini. — Facebook/Selangor FC

Faisal Halim

Tidak kurangnya tajam juga taring penyerang sayap kiri Selangor FC ini, Faisal Halim yang pada ketika ini berjaya menyumbang sebanyak tujuh gol dan assist sepanjang 15 perlawanan dalam Liga Super musim ini.

Lebih mesra dengan nama jolokan Mickey, walaupun pemain kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang ini hanya berketinggian 1.57 m, prestasinya beraksi di padang tidak boleh dipandang rendah sama sekali khususnya setiap kali menyarung jersi skuad Harimau Malaya selama ini.

Zhafri Yahya

Berkhidmat dengan KL City FC sejak 2016, prestasi pemain tengah, Zhafri Yahya di padang juga tidak boleh dipandang sepi walaupun hanya menjaringkan satu gol sepanjang 11 penampilannya dalam Liga Super musim ini.

Bukan apa, pemain berketinggian 1.67 m ini hampir diserap masuk ke Harimau Malaya bagi membantu skuad tersebut dalam aksi Piala Raja Thailand (King's Cup) pada musim lalu.

346762573_1476500662884538_5037750027246876443_n

Zhafri Yahya pernah dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada musim lalu. — Facebook/KL City FC

Namun, pasukan kendalian Bojan Hodak ketika itu enggan melepaskan tonggak utama pasukan The City Boys itu menyarung jersi skuad kebangsaan kerana ingin memberi tumpuan ke pentas akhir interzonal Piala AFC dan mengekalkan kedudukan di carta Liga Super musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram