SEAKAN tiada peluang untuk bangkit, Kelantan FC terus berada di kedudukan terakhir dalam Liga Super musim ini dalam kalangan 13 pasukan kelab bola sepak tanah air.
Dengan hanya memenangi satu perlawanan sahaja, skuad The Red Warrior dilihat terus kecundang dalam setiap pertembungan setakat ini.
Mengenangkan harapan untuk terus mendaki dalam carta Liga Super yang kian pudar, pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman mula merisik bakat-bakat berpotensi untuk mengembalikan maruah kelab daripada terus dicalar pasukan lain.
Pada Sabtu, seorang pemain yang dikenali sebagai Chris Jastrzembski itu memberi bayangan bahawa akan menyertai pasukan TRW selepas memberikan kata-kata semangat kepada Kelantan yang berdepan Kuching City bagi aksi Liga Super ke-17.
Bintang import dari Poland yang kini berstatus sebagai ejen bebas memiliki profil menarik selepas kali terakhir beraksi di Finland bersama TB Tvøroyri di Faroe Island.
Bekas pemain Divisyen ke-6 Jerman bersama Husumer SV itu juga membantu skuad muda Poland mengharungi Kelayakan Euro bawah 19 tahun dan beraksi dalam beberapa perlawanan di peringkat bawah 19 tahun Poland.
Walaupun masih tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kedua-dua belah pihak, namun pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan bakal membawa masuk sekurang-kurangnya enam muka baharu menyertai pasukan berkenaan.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan beberapa pro dan kontra Jastrzembski untuk pertimbangan TRW sekiranya berminat untuk merisik pemain muda tersebut.
Jastrzembski mempunyai nilai pasaran yang rendah berpadanan dengan kewangan TRW ketika ini. — Agensi
Pro
Murah untuk harga pemain import
Setakat musim lalu, Jastrzembski mencatatkan nilai pasaran berjumlah RM253,785.44 (50,000 EUR), iaitu jauh lebih murah berbanding pemain-pemain tempatan lain yang bermain di posisi sama dengannya seperti pemain tengah pertahanan Selangor FC, Safuwan Baharudin dengan nilai sebanyak RM888,249.05 (175,000 EUR); Muslim Ahmad (Sri Pahang FC - RM380,678.16/ 75,000 EUR) dan paling mahal, Jordi Amat (JDT - RM4.57 juta/ 900,000 EUR).
Nilai pasaran yang rendah itu dilihat berpadanan dengan TRW yang dibelenggu masalah kewangan kerana rata-rata pemainnya berharga di bawah RM750,000.
Dengan prestasi yang ditawarkan, agak sesuai untuk TRW mendapatkan khidmat bintang Poland itu bagi menyertai pasukan Pantai Timur tersebut.
Usia masih muda
Jastrzembski mula melibatkan diri dalam dunia bola sepak pada musim 2007 dengan kelab yang berpangkalan di Jerman dan mula bermain untuk lebih daripada sembilan pasukan lain, selain membantu skuad muda Poland mengharungi Kelayakan Euro bawah 19 tahun.
Perkara tersebut menjadikan dia sebagai pemain muda yang mempunyai banyak ilmu dan pengalaman daripada pelbagai kelab bola sepak, sekali gus menjadi aset bernilai untuk pasukannya.
Usia 26 tahun juga boleh dianggap muda untuk pemain ini mempamerkan kelincahan dan ketangkasannya di atas padang.
Jastrzembski kali terakhir beraksi di Finland bersama TB Tvøroyri di Faroe Island pada musim lalu. — Instagram/ @chrisjastrzembski
Kontra
Persaingan di posisi pertahanan
Seandainya Jastrzembski sah tiba di bumi Darul Naim, dia yang beraksi di posisi pertahanan tengah bakal menghadapi persaingan sengit daripada rakan sepasukan.
Ini kerana dia perlu bersaing dengan sekurang-kurangnya lima pemain sedia ada di posisi sama (centre-back) antaranya Arip Amiruddin, Gerald Gadit, Khairul Helmi, Kim Min-kyu Kim dan Syaqimi Rozi.
Justeru, untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan, Jastrzembski perlu bekerja keras untuk memikat ketua jurulatih, Alfredo Vera.
Prestasi kelab kurang meyakinkan
Kelantan FC pada musim ini mengalami musim agak suram selepas berdepan masalah kewangan dan terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain.
Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain akibat kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain.
Dengan keadaan itu, satu persatu pemain dan staf kejurulatihan meninggalkan TRW antaranya penolong jurulatih, Rezal Zambery Yahya selain import seperti Nuha Marong, Mario Arques, Miguel Cifuentes, Ismahil Akinade dan Carli de Murga.
Tentunya jika Jastrzembski rasmi ke TRW, penyokong enggan melihat lagi pemain import angkat kaki meninggalkan pasukan berikutan masalah dihadapi kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram