Liga Indonesia lebih kompetitif, tapi fans sifatkan hanya setaraf skuad tengah Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Ada pemain import membuat perbandingan antara Liga Malaysia dengan Liga Indonesia. — Semuanyabola

LIGA Super musim 2023 menyaksikan aksi mendebarkan daripada 14 kelab bola sepak tempatan yang bersaing bagi merebut gelaran juara kejohanan domestik tersebut.

Setakat ini, Johor Darul Takzim (JDT) kekal mengungguli carta liga tanpa digugat oleh mana-mana kelab bola sepak tempatan dengan rekod tanpa kalah untuk 17 perlawanan setakat ini.

Manakala pasukan Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC, dan Sabah FC yang kekal berada di tangga teratas Liga Super musim ini, walaupun ada kalanya kedudukan mereka saling beralih.

Namun di sebalik persaingan sengit tempat kedua Liga Super itu, bekas pemain Penang FC, Christian Rontini memberikan komen tentang perbezaan dari segi persaingan dalam Liga Malaysia dengan Liga Indonesia.

Bintang kelahiran Itali itu memaklumkan persaingan sesama pasukan bola sepak di negeri jiran itu lebih kompetitif berbanding di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, Rontini berkata, jurang antara sesama kelab bola sepak Malaysia terutamanya bagi sembilan pasukan terbawah dalam carta Liga Super sangat besar, manakala persaingan antara lima skuad teratas sentiasa tegang dan sengit.

Screenshot_2023-07-10-19-33-55-07-01

Rontini kini berkhidmat dengan kelab bola sepak berpangkalan di Indonesia sejak musim lalu. — Agensi

Ia berbeza dalam konteks bola sepak di Liga Indonesia yang menyaksikan kesemua pasukan bola sepak berada pada tahap yang sama.

Pendapat Rontini yang kini berkhidmat dengan kelab bola sepak yang berpangkalan di Indonesia, Persita Tangerang sejak musim lalu itu mengundangkan komentar daripada warganet yang mempunyai pelbagai reaksi tentang perkara tersebut.

Bagi salah seorang pemerhati sukan bola sepak, Razali Noorhan, walaupun semua kelab bola sepak di negara Sang Garuda mempunyai peluang sama rata untuk merebut gelaran juara dalam liga tempatan mereka, namun prestasi mereka hanya setaraf dengan pasukan dalam posisi tengah Liga Super.

"Apa dia cakap ada betulnya, semua kelab di Liga 1 Indonesia berpeluang jadi juara. Masalahnya semua kelab di sana tahapnya sama dengan kelab di kedudukan keenam ke bawah Liga Super Malaysia.

"Ini juga membayangkan tahap permainan pemain itu. Tak boleh bersaing dengan kehandalan pemain di Malaysia, dia cari liga yang boleh buat dia nampak hebat," katanya.

359517251_809554857576390_4841817797930772726_n

Peminat bola sepak menyifatkan prestasi pasukan dalam Liga Indonesia setaraf dengan PDRM FC yang berada di pertengahan carta Liga Super. — Facebook/ PDRM FC

"Lebih kompetitif, tapi kualiti setiap pasukan level pertengahan ranking Liga Super saja," kata Fauzi Othman.

Disebabkan itu, ada yang beranggapan mungkin pasukan bola sepak yang berada di kedudukan pertengahan dalam Liga Super musim ini boleh menang mudah jika dihantar menyertai Liga 1 Indonesia.

"Kalau Liga Indonesia, Malaysia hantar PDRM FC dah boleh juara di sana," kata Mirul Amirrul.

Mungkin daripada membandingkan persaingan sesama kelab bola sepak antara Liga Indonesia dengan Liga Malaysia, lebih baik aspek prestasi permainan yang diketengahkan supaya ia tampak lebih adil untuk dinilai. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram