Gergasi Merah tempang tanpa Mickey, 2 nama disebut sebagai pengganti terbaik bertemu JDT


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Ketiadaan Faisal sememangnya berpotensi untuk merencatkan prestasi skuad The Red Giants yang pada musim ini mempunyai hasrat untuk memberikan saingan lebih bermakna kepada pendahulu liga JDT. — Instagram/FaisalHalim

PERLAWANAN Liga Super 2023 pada Sabtu bakal menyaksikan pertembungan tumpuan antara dua pasukan teratas iaitu Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.

Namun, menuju ke aksi tersebut, perbincangan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air ternyata lebih didominasi oleh isu di luar padang berbanding dalam padang.

Ia selepas kem skuad The Red Giants pada Khamis dikejutkan dengan berita penggantungan pemain utamanya, Faisal Halim oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selama sebulan ekoran komen diberikannya dalam satu temu bual selepas perlawanan pada 27 April lalu.

Meskipun tidak dinyatakan secara khusus, ia difahamkan kenyataan dilontarkan Faisal yang mendakwa ramai pihak ingin menjatuhkan Selangor FC.

Pemain berusia 25 tahun itu juga pernah meluahkan kekecewaannya itu ketika ditemubual oleh media selepas pasukannya mencatatkan kekalahan 1-2 di tangan Sabah FC di Stadium Likas pada April lalu.

Ini kerana pemain yang juga terkenal dengan panggilan Mickey itu menganggap bahawa perlawanan itu tidak adil terhadap pasukannya.

Dalam pada itu, perkembangan tersebut ternyata menimbulkan persoalan kepada kebanyakan penyokong bola sepak negara terutamanya penyokong Selangor FC yang mempersoalkan kewajaran hukuman berat yang dikenakan itu.

FAM menerusi kenyataannya menjelaskan bahwa Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya pada 27 April itu.

1983611

Daripada 19 penampilannya bersama Selangor FC, Faisal berjaya mencipta lapan jaringan dan lapan bantuan gol. — Instagram/FaisalHalim

Jelas kenyataan itu, keputusan pada asalnya menetapkan penggantungan selama empat bulan namun ia dikurangkan kepada sebulan sementara penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos 2023.

Dengan perkembangan itu, Faisal tidak boleh disenaraikan untuk lima perlawanan bermula ketika menentang JDT pada Sabtu ini, Kuala Lumpur City (8 Ogos), Negeri Sembilan (13 Ogos) dan dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC (3 dan 19 Ogos).

Ketiadaan pemain dalam beberapa aksi tersebut sememangnya merencatkan prestasi skuad The Red Giants yang pada musim ini mempunyai hasrat untuk memberikan saingan lebih bermakna kepada pendahulu liga yakni JDT.

Ini kerana pemain yang beraksi di posisi sayap kiri itu dilihat mempunyai pengaruh agak signifikan terhadap barisan hadapan pasukan khususnya bagi merencanakan gerakan kreatif ke kubu lawan.

1980537

Mukhairi lebih banyak beraksi di posisi tengah.

Ini terbukti apabila daripada 19 penampilannya bersama Selangor FC, Faisal berjaya mencipta lapan jaringan dan lapan bantuan gol.

Bagaimanapun, pengendali The Red Giants seharusnya mempunyai tanggungjawab bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menangani masalah tersebut termasuk dengan mencari pengganti yang boleh mengisi kekosongan tersebut.

Dalam perbincangan untuk memenuhi keperluan, terdapat dua nama yang mula disebut-sebut berkemungkinan menggantikan Faisal buat sementara waktu sepanjang tempoh penggantungan tersebut iaitu Mukhairi Ajmal dan Aliff Haiqal.

"FH (Faisal) kena gantung beri ruang kepada Mukhairi untuk lebih menyerlah di bahagian sayap. Apa nak risau ada backup pemain yang ok," kata Mohd Nor Adzli.

"Rasanya tempat FH nanti mesti diisi oleh MA10 (Mukhairi). Jadi,tolong MA tunjukkan skit yang awak tu bagus dalam tiga empat perlawanan ni. Sebelum ini agak merosot prestasi. Penyudah tu asah sikit, lagi-lagi depan gol atau satu lawan satu dengan penjaga gol," ujar Muhammad Hanan Bin Yum.

"Aliff Haiqal mungkin boleh gantikan sebentar di posisi tersebut," tulis Ikhwan Mislani pula.

Aliff Haiqal Hakim Lau trains with Selangor. - Photo by Selangor FC

Aliff makin menyerlah bersama Selangor FC pada musim ini.

Untuk rekod, posisi utama kedua-dua pemain itu adalah di bahagian tengah menyerang, namun boleh beraksi di bahagian sayap seperti mana Faisal.

Sepanjang 19 penampilannya pada musim ini, Mukhairi, 21, yang lebih banyak beraksi di posisi tengah berjaya mencipta lima jaringan dan dua bantuan gol.

Sementara Aliff, 23, yang semakin menyerlah bersama Selangor FC pada musim ini diberikan peranan untuk beraksi di posisi sayap kanan sebanyak enam kali daripada 18 penampilannya pada musim ini selain mencetak satu jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram