Senasib Faisal Halim, bintang Perak antara 3 lagi figura bola sepak pernah kena hukuman panjang FAM


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Akmal Rizal pernah digantung tujuh perlawanan dan didenda RM 4,000 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM.

DUNIA bola sepak tempatan ketika ini dikejutkan dengan berita penggantungan penyerang Selangor FC, Faisal Abdul Halim selama empat bulan.

Keputusan mengejutkan itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kenyataan media yang dibuat oleh bintang Harimau Malaya tersebut selepas menentang Sabah pada 27 April lalu.

Hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula 25 Julai sehingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.

Tindakan berkenaan jelas mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, isu pemain digantung bukanlah perkara baharu dalam sejarah bola sepak tanah air, malah insiden itu juga pernah menimpa beberapa pemain lain atas alasan tertentu.

Berikut Majoriti senaraikan tiga figura bola sepak negara yang pernah mempunyai sejarah digantung oleh FAM:

1. Datuk Dollah Salleh

Dollah pernah mengeluarkan kenyataan negatif terhadap FAM di hadapan media. — Facebook/Sri Pahang FC

Pengurus Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh, pernah digantung selama 18 bulan oleh FAM kerana melanggar peraturan badan induk itu pada tahun 2017.

Dia yang ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih skuad Tok Gajah dihukum kerana melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM dengan dibaca dengan Artikel 88.

Keputusan berkenaan diambil susulan kesalahannya mengeluarkan kenyataan negatif terhadap FAM di hadapan media secara terus atau inuendo serta memberi kesan buruk kepada FAM.

Dollah juga disabit kesalahan kerana mengecam urusan pentadbiran FAM dan Liga Malaysia ketika perlawanan Felda United menentang Pahang pada 1 Julai 2017.

Justeru, jurulatih berusia 59 tahun itu digantung selama 18 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak anjuran FAM dengan denda sebanyak RM30,000.

Namun begitu, Dollah digantung dengan dua fasa iaitu fasa pertama hukuman bermula pada 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018 dan fasa kedua hukuman bermula pada 21 April 2018 hingga 20 Januari 2019.

2. Paulo Rangel

Rangel juga pernah digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik berkuat kuasa serta-merta oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 2018.

FAM menggantung penyerang bekas import pasukan Terengganu FC, Paulo Rangel selama enam bulan berkuat kuasa pada 20 Jun 2015.

Rangel didapati bersalah kerana menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil, yang melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015.

Pemain kelahiran Brazil yang berusia 30 tahun ketika itu melakukan kesalahan tersebut ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei 2015.

Selain itu, Rangel juga pernah digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik berkuat kuasa serta-merta oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM ketika bermain untuk skuad Sang Kenari pada 2018.

Ia ekoran tindakan ganasnya yang menendang penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Farizal Marlias pada aksi Liga Super Kedah menentang JDT di Stadium Darul Aman, 13 Julai 2018.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan ketika itu, Datuk Baljit Singh Sidhu dilaporkan berkata, Rangel didapati melanggar artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan artikel 18.4 kod tatatertib FAM, yang mana dia turut didenda sebanyak RM3,000.

BACA LAGI: 'Kerana mulut, badan binasa', Faisal sertai senarai 3 individu didenda FAM akibat komen pedas

3. Akmal Rizal

Akmal Rizal Ahmad Rakhli (14) of Malaysia celebrates after scoring a goal during the Tiger Cup match between Malaysia and Thailand 20 December, 2002 at the Singapore National Stadium.  At the half time the two teams were tied 1-1.    AFP PHOTO/Paul LAKATOS/World Sport Group (Photo by PAUL LAKATOS / WORLD SPORT GROUP / AFP) (Photo by PAUL LAKATOS/WORLD SPORT GROUP/AFP via Getty Images)

Pada masa lalu, Akmal Rizal adalah antara pemain remaja terbaik Malaysia dan pernah menyertai kelab Eropah, SC Strasbourg pada 1999. — AFP

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal adalah antara salah seorang daripada lima pemain utama skuad Liga Super Perak yang digantung tujuh perlawanan dan didenda RM 4,000 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM.

Penggantungan itu susulan insiden menyerang pengadil perlawanan, Mohd Sabri Mat Lazim pada perlawanan Liga Super antara Perak dan Sabah di Stadium TLDM, Lumut 19 Mei 2011.

Ia berlaku apabila keputusan Sabri menghadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pemain tuan rumah.

Ini kerana, sepakan tersebut menghasilkan gol penyamaan buat pasukan Sabah, hasil jaringan Rozaimi Rahman.

Sedangkan Perak sebelum itu berjaya mendahului 1-0, dengan jaringan daripada Shahrulnizam pada minit ke-52.

Selain Akmal, empat pemain lain adalah Shahrulnizam Mustapha, penjaga gol, Nasril Nordin, Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram