KECOH ketika ini dalam dunia bola sepak negara apabila penyerang Selangor FC, Faisal Abdul Halim sah digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama empat bulan.
Hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula 25 Julai sehingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.
Bintang Harimau Malaya itu menerima padah susulan kenyataan media yang dibuat olehnya selepas menentang Sabah pada 27 April yang lalu.
Faisal musim ini menjadi tunjang utama skuad bimbingan Tan Cheng Hoe apabila meledak lapan gol dan mencatat lapan assist dalam 18 perlawanan Liga Super.
Insiden Farizal menolak pengadil perlawanan. — AFC
Berita mengenai penggantungan Faisal Halim ini mengimbau kembali kes yang pernah terjadi di bumi Filipina pada 2017.
Insiden tersebut berlaku selepas bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias didapati bersalah mengasari pengadil perlawanan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara melibatkan pasukan Ceres-Negros FC menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Panaad, Filipina.
Dalam perlawanan itu, Farizal bertindak menolak pegawai perlawanan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil menghadiahkan penalti kontroversi kepada tuan rumah (Ceres).
Farizal berang dengan pengadil selepas menghadiahkan penalti kepada Ceres. — AFC
Keputusan tersebut jelas menganggu konsentrasi Farizal yang tidak lama selepas itu bertindak menolak pengadil hingga dilayangkan kad merah dan diperintahkan keluar daripada padang.
Farizal digantung selama 12 bulan dan denda sebanyak RM170,626 oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
Penggantungan itu melibatkan semua perlawanan bola sepak yang dianjurkan di seluruh Asia meliputi dalam dan luar negara, sama ada perlawanan persahabatan, tidak rasmi atau rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram