Kelewatan tindakan terhadap Faisal Halim bangkitkan persepsi negatif terhadap FAM


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Pekan mengakui bahawa tindakan terhadap Faisal Halim menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

PERDEBATAN hangat kini tercetus di media sosial berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menggantung pemain sayap negara, Faisal Halim selama setahun.

Tindakan itu diambil berikutan satu komen yang dibuat penyerang tersebut mengenai mutu pengadilan ketika aksi Liga Super antara Selangor FC dan Sabah FC di Stadium Likas, Sabah pada April.

Faisal dilaporkan berkata terdapat segelintir pihak yang cuba menjatuhkan kebangkitan skuad Gergasi Merah selain tidak dapat menerima faktor di sebalik kekalahan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Selangor FC pada Rabu, pemain berusia 25 tahun terbabit berdepan penggantungan secara automatik selama sebulan.

Selain itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM akan melakukan penilaian terhadap tingkah laku Faisal untuk tempoh setahun bagi memastikan sekiranya penyerang berkenaan perlu didenda selanjutnya.

362919071_985643582508878_2983157892621854763_n

Satu kenyataan rasmi dikeluarkan FAM mengenai keputusan penggantungan Faisal Halim. Facebook/FAM

Keputusan terbabit mengakibatkan keretakan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang berasakan persatuan tersebut mengambil tindakan terlalu tegas terhadapnya.

Malah, ada juga yang berpandangan tempoh terlalu lama yang diambil FAM untuk menetapkan denda terhadapnya mencetuskan pelbagai tanda tanya, lebih-lebih lagi apabila Selangor FC kini berada di tangga kedua Liga Super.

Pandangan itu turut dikongsikan pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang berkata, kelewatan terbabit adalah antara sebab utama di sebalik rasa kurang senang penyokong.

"Kesalahan mengecam atau mempertikaikan mutu pengadilan memang biasanya dikenakan tindakan tatatertib, tetapi yang saya nampak apabila keputusan dibuat tidak pada waktunya, ia akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, perbincangan di alam maya itu diperhangatkan lagi dengan pertembungan mencuri perhatian Liga Super antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) yang cukup dikenali akan permusuhan antara kedua-dua pasukan.

2198131

Faisal merupakan tonggak utama skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

Ketiadaan Faisal dijangka akan memberi tamparan dalam aksi terbabit, lebih-lebih lagi dengan Faisal boleh dianggap sebagai tonggak utama skuad Gergasi Merah.

Selain perlawanan itu, Faisal juga terpaksa melupakan beberapa aksi Liga Super serta dua pertembungan peringkat awal Piala Malaysia berdepan PDRM FC.

Jelas Pekan lagi, pertikaian mengenai pendirian FAM boleh dielakkan pada masa akan datang sekiranya sesuatu keputusan boleh dikeluarkan pada tempoh yang bersesuaian.

"Yang perlu konsisten adalah Jawatankuasa Tatatertib, mereka tidak perlu mengambil satu tempoh terlalu lama untuk ambil tindakan.

"Dahulu, setahu saya, pada zaman 1990-an dan pada tahun 2000 iaitu semasa kita berstatus liga semi-pro, keputusan dibuat adalah cepat dan tidak perlu tunggu selama tiga atau empat bulan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram