Kembali ke Liga M, Aidil Sharin dijangka 'berdarah hijau' semula?


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Aidil membimbing Kedah sejak 2018 hingga 2022 sebelum memilih untuk berkelana ke Indonesia. — Facebook/KDA FA

BEKAS pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak dikhabarkan akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas meninggalkan negara ini pada musim lalu.

Aidil yang mula membimbing Kedah pada 2018 dijangka akan meneruskan legasi Irfan Bakti Abu Salim di Kuching City FC selepas dia meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu baru-baru ini.

Menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dalam Twitter, Aidil hampir pasti dilantik sebagai ketua jurulatih Kuching City FC.

"Bekas pengendali Kedah DA, Aidil Shahrin Sahak dikhabarkan hampir pasti akan dilantik sebagai ketua jurulatih Kuching City FC yang baru.

"Pengumuman rasmi dijangka menyusul dalam tempoh masa terdekat," ciapnya di Twitter.

Aidil Shahrin

Aidil (kiri) antara salah seorang jurulatih yang berjaya bersama Kedah.

Musim ini, pengendali kelahiran Singapura itu merekodkan dua kekalahan dan menang sekali, seri sekali dalam empat perlawanan terakhir Liga 1 Indonesia.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, Aidil sudah pun berstatus ejen bebas selepas meninggalkan kelab Indonesia, Persikabo 1973 pada 23 Julai lalu.

Kejayaan terbesar Aidil dalam Liga Malaysia ialah menjuarai Piala FA bersama Kedah pada 2019 dan sekali gus layak secara automatik ke pusingan 'play-off' Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim berikutnya.

Jurulatih berusia 46 tahun itu pastinya mempunyai tugas sukar untuk membawa keluar Kuching City FC daripada kelompok tiga terbawah Liga Super musim ini.

Tambah sukar lagi apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kedudukan dua tercorot Liga Super boleh tersingkir ke saingan Liga M3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram