JDT terpalit keputusan FAM gantung Faisal Halim selama 4 bulan


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Kehilangan Faisal pasti akan memberi satu tamparan buat Selangor FC dalam misi mereka ke peringkat Asia. — Facebook/Selangor FC

SUSULAN komen yang dibuat Faisal Halim selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada April lalu, pemain sayap berkenaan dikenakan hukuman penggantungan selama empat bulan.

Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan Selangor FC pada Rabu, penyerang berusia 25 tahun terbabit dihukum selepas perbicaran tatatertib diadakan.

"Pada hari ini, Selangor FC telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut. Pemain dikenakan penggantungan selama satu bulan dari 25 Julai sehingga 23 Ogos.

"Baki tiga bulan adalah ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain selama 12 bulan dari tarikh 24 Ogos sehingga 24 Ogos 2024," tulisnya.

Sebelum ini, pemain kebangsaan berkenaan mengeluarkan kenyataan mengatakan terdapat pihak berhasrat menjatuhkan skuad Gergasi Merah.

Denda berkenaan menyaksikan Faisal tidak dapat diturunkan untuk beberapa aksi Liga Super, termasuk kunjungan ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu berdepan Johor Darul Takzim (JDT).

362296786_676435834530249_50559447626673044_n

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Selangor FC berkaitan penggantungan Faisal Halim. Facebook/Selangor FC

Tidak cukup dengan itu, bekas penyerang Terengganu FC dan Pahang FA tersebut akan terlepas dua perlawanan peringkat awal Piala Malaysia berdepan PDRM FC.

Dalam masa sama, terdapat juga penyokong yang berpandangan keputusan tersebut berkaitan dengan aksi Liga Super berdepan JDT memandangkan ada yang melihat ketiadaan Faisal akan memudahkan urusan mereka untuk meraih kemenangan.

"Hmm, ni mesti nak bagi JDT menang mudah. Bukan pertama kali kita nampak situasi sebegini berlaku, ada sahaja yang mereka lakukan," kata Shamil Rizal.

"Setiap kali ada pasukan yang nak menang lawan JDT, boleh pula ada yang dikenakan tindakan sedemikian. Tapi, nak buat macam mana?" soal Haziq Muhammad.

Bagaimanapun, pandangan tersebut seperti tidak berasas memandangkan hukuman itu dilihat setimpal dengan pandangan Faisal yang secara terbuka mengkritik pihak berwajib.

Selain itu, perbincangan secara mendalam pastinya perlu dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum tindakan sedemikian boleh diambil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram