PENJAGA gawang Johor Darul Takzim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi kini semakin menjadi sandaran pasukan dengan bakat serta ketangkasan dimiliki menjadikannya susuk yang kerap kali dipertaruhkan dalam setiap perlawanan di Liga Malaysia (Liga M).
Turut cemerlang bersama skuad Harimau Malaya, pemain berusia 27 tahun kelahiran Kelantan itu juga boleh dikatakan antara tonggak utama di bawah kendalian jurulatih Kim Pan-gon yang lebih gemar menggunakan khidmatnya berbanding pemain lain ketika beraksi di kejohanan peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Syihan Hazmi juga sebelum ini pernah terpalit dengan beberapa isu dalaman yang mencacatkan karier bola sepaknya satu ketika dahulu.
Gagal ujian doping pada kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, bekas penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) tahun negara itu digantung selama 20 bulan daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak oleh AFC.
Syihan Hazmi didapati bersalah selepas melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan digantung sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi.
Malah, kontraknya yang ketika itu beraksi bersama Negeri Sembilan FC juga terbatal serta-merta selepas dia dikenakan penggantungan oleh AFC.
Syihan Hazmi ketika mewakili skuad Negeri Sembilan FC pada 2018. — Facebook/NegeriSembilanFC
Meskipun dilanda cabaran getir, namanya kini kian memuncak selepas menyertai JDT dan tampil cemerlang pada saingan berikutnya yang sekali gus membuatkan dirinya semakin dikenali dalam kancah bola sepak negara.
Berkongsi cerita serta latar belakang pemain itu di laman Facebook, seorang individu dikatakan bekas rakan sekelasnya sewaktu zaman persekolahan tampil membongkarkan detik jatuh bangun pemain itu satu ketika dahulu.
Ahmad Sidry Hussin berkata, potensi Syihan Hazmi selaku pemain bola sepak bermula di peringkat sekolah rendah dengan dia dikatakan hanyalah pelajar di sekolah harian biasa.
"Setahu saya tentang Syihan, dia bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Seberang Pasir Mas, Salor, Kelantan dan di Sekolah Menengah Salor sampai tingkatan dua.
"Bukan sekolah sukan, hanya sekolah kampung sahaja, budaknya baik selalu diusik oleh kawan-kawan nakal.
"Tingkatan tiga terus ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, tak pasti sebelum itu dia main dengan kelab apa tapi terus melonjak lepas ke Bukit Jalil.
"Potensinya dapat dihidu oleh pihak 'scouting' dari sekolah biasa hingga terus menjadi pemain bola sepak terkenal (seperti hari ini)," katanya.
Mengulas lanjut soal isu doping dihadapi, individu berkenaan turut mendedahkan sikap Syihan Hazmi yang tidak pernah mengenal erti putus asa biarpun digantung hampir dua tahun.
"Cuma satu lagi kebaikan dan kehebatan Syihan, dia orang yang kuat semangat dan tak putus asa.
"Walaupun dikenakan tindakan disiplin kerana isu doping selama hampir dua tahun, tapi dia tak putus asa dan tak malu bermain dengan orang kampung serta sabar menunggu hingga akhirnya dia terpilih lagi bermain dengan negeri dan terus mewakili negara.
"Tak ramai pemain apabila dah kena tindakan disiplin akan terus bermain, biasanya mesti akan cari pekerjaan yang lain," ujarnya.
Untuk rekod, pemain itu cemerlang bersama JDT dengan 17 perlawanan ditempuhi setakat ini menyaksikan Syihan hanya dibolosi tiga kali ketika bertemu Kelantan FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram