MISI Selangor FC untuk mengukuhkan kedudukan di tempat kedua saingan Liga Super sedikit terjejas apabila difahamkan pemain utama Gergasi Merah, Faisal Halim berkemungkinan akan digantung perlawanan nanti.
Insiden yang menimpa kepada penyerang sayap itu berlaku apabila dipercayai kerana melakukan kesalahan pada aksi Liga Super dan lebih mengejutkan Faisal difahamkan akan digantung dalam tempoh sebulan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Berdasarkan khabar angin yang tersebar di media sosial, ramai penyokong bola sepak tanah air mendakwa bahawa kesalahan tersebut berlaku ketika separuh akhir Piala FA yang menyaksikan Selangor tewas 0-4 di tangan Johor Darul Takzim (JDT).
Ketika aksi Piala FA itu, ada dakwaan mengatakan bahawa bekas pemain Terengganu FC itu bertindak luar kawalan dengan menyentuh pengadil perlawanan sehingga perkara tersebut mendapat perhatian pihak FAM.
Tampil mengesahkan perkara sebenar berhubung isu penggantungan Faisal, ejennya yang dikenali sebagai Joe Berbatov berkongsi bahawa ada sebab lain pemain kebangsaan tersebut dipanggil badan induk berkenaan.
Tangkap layar hantaran Faisal di laman Insta Story.
Joe berkata, komen pemain kelahiran Pulau Pinang yang berbunyi, 'kami tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor' menjadi punca dirinya akan menerima hukuman daripada FAM.
Kenyataan Faisal itu dibuat perlawanan Liga Super tewas 1-2 di tangan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 27 April lalu.
"Kemungkinan besar Faisal akan digantung oleh pihak FAM. Setakat ini, tiada kata putus lagi badan induk berkenaan namun khabarnya begitulah. Bukan masalah semasa Piala FA tapi semasa dia komen selepas perlawanan di Likas.
"Masalahnya Faisal tidak menyebut nama sesiapa pun dalam kenyataan itu. Tapi sebab itulah FAM nak gantung sebulan Faisal. Persoalannya, kenapa buat sekarang kerana benda itu berlaku sekitar empat bulan lalu," katanya kepada Majoriti.
Tangkap layar hantaran ejen Faisal di laman Insta Story.
Namun, seandainya hukuman itu benar-benar dikenakan, pemain berkenaan bakal membuat satu sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar dan sekali gus mengelak daripada timbul dakwaan lain.
"Kami tengah tunggu daripada pihak FAM dahulu sama ada nak teruskan hukuman tersebut. Jika betul nak teruskan hukuman tersebut, pihak Faisal mungkin akan laksanakan sidang media untuk jelaskan perkara tersebut," tambahnya.
Sebelum ini, ejen pemain itu turut meluahkan rasa tidak puas hati di media sosialnya terhadap FAM yang disifatkan seperti tidak menghargai jasa dan pengorbanan Faisal untuk Harimau Malaya.
Kekecewaan ejen terkenal tanah air itu terhadap tindakan badan induk berkenaan membuatkan dia menyarankan agar Faisal untuk bersara daripada menyarung jersi skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram