RENTETAN pengumuman peletakan jawatan sebagai pengendali Kuala Lumpur City (KL City), pasukan Liga Divisyen Satu Indonesia, Persib Bandung secara rasmi merekrut Bojan Hodak untuk menggantikan posisi pengendali, Luis Milla yang meletak jawatan pada 15 Julai lalu.
Dalam kenyataan rasmi kelab, Persib mengatakan yang kehadiran Hodak di peringkat awal saingan domestik negara itu diharap dapat membantu menambah baik pasukan itu pada saingan musim ini.
"Kami telah membuat perjanjian dengan jurulatih ini (Hodak) dan mengumumkannya hari ini (Rabu). Kami berharap bersama-sama jurulatih baharu ini, Persib dapat bangkit untuk mengejar sasaran awal kami berada dalam kelompok empat terbaik,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PT Persib Bandung, Teddy Tjahjono di laman web rasmi.
Berdasarkan rekodnya sebagai jurulatih skuad Warga Kota, Hodak berjaya membawa pasukannya melayakkan diri ke final Piala FA tahun ini, sebelum ditewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 2-0.
Selain daripada itu, pengendali kelahiran Croatia itu juga membawa KL City memenangi Piala Malaysia 2021 dengan menewakan JDT, selain menjadi naib johan pada Piala AFC musim 2022 selepas kalah di tangan kelab Oman, Al Seeb.
Kehadiran Hodak ke pasukan Persib disambut baik oleh penyokong terutamanya selepas mereka melihat video viral bekas pengendali Kelantan FC itu memarahi pemain The City Boys di bilik persalinan.
Hodak memarahi penyokong KL City di bilik persalinan. — Astro Arena
"Pengendali begini yang kita perlukan," kata penyokong Persib, adipati.
"Memang sesuai dengan pemain Persib yang mentalnya semua lemah," tambah penyokong pasukan itu, mas-mas kesepian.
Untuk rekod, Hodak pernah mengendalikan PSM Makassar dalam Liga 1 pada 2020 namun jodohnya bersama pasukan itu terlerai berikutan saingan liga terpaksa dihentikan akibat pandemik Covid-19.
Selain menjadi naib juara Piala FA musim ini, pengendali berusia 52 tahun itu juga berjaya membawa Kelantan FA dan skuad Harimau Selatan menjadi juara Liga Super Malaysia pada 2012 dan 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram