Khabarnya ada 'big announcement', winger dan CB baharu antara tekaan fans Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Tekaan penyokong Selangor mengenai pemain baharu mula timbul selepas khabar angin Khuzaimi akan dipinjamkan ke Penang FC. — Facebook/SelangorFC

SATU demi satu kejutan dihidangkan pada penyokong bola sepak domestik pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ini apabila majoritinya mengenai kemunculan beberapa wajah baharu, selain ada juga pemain yang digugurkan.

Antara pasukan yang mencuri tumpuan pada jendela perpindahan kedua sepanjang Julai ini ialah Selangor FC apabila kelab berpangkalan di Lembah Klang itu mengumumkan bekas pertahanan kental, Safuwan Baharuddin menyertai semula Gergasi Merah.

Safuwan yang membuat keputusan meninggalkan skuad The Red Giants pada musim lalu ekoran kecederaan, kembali ke pangkuan Selangor pada 13 Julai lalu selepas hanya sempat memberi khidmat selama enam bulan bersama Negeri Sembilan FC (NSFC).

Kehadiran pemain pertahanan skuad kebangsaan Singapura itu disambut baik oleh penyokong Gergasi Merah kerana rata-rata 'pemain ke-12' mempercayai bahawa kepakaran Safuwan dapat membantu membaiki pertahanan Selangor yang agak longgar.

Namun kejutan dari Gergasi Merah tidak berhenti di situ apabila difahamkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan membuat pengumuman baharu dan dijangka akan menggembirakan penyokongnya pada waktu terdekat ini.

Walaupun belum ada sebarang rasmi daripada pihak Selangor sendiri dan desas-desus itu disebarkan menerusi media sosial penyokong sahaja, namun ia tidak menjadi masalah buat sebahagian pengikut Gergasi Merah untuk terus membuat tekaan.

isi sfc

Penyokong masih berharap agar skuad kendalian Cheng Hoe itu akan diperkuatkan dengan khidmat pemain baharu. — Facebook/SelangorFC

Menerusi tinjauan Majoriti di laman Facebook penyokong Gergasi Merah, Penyokong Selangor FC, rata-rata penyokong berpendapat bahawa berkemungkinan pihak pengurusan akan mengumumkan kehadiran pemain baharu berikutan jendela perpindahan kedua masih sedang berlangsung sehingga 2 Ogos ini.

"Pemain import world class untuk pertahanan," teka penyokong The Red Giants, Muhamad Fauzi Sanin.

"Pemain sayap import baharu," kata seorang lagi peminat Selangor FC, MDhafiz Jerr.

"Selagi tak cari pertahanan kanan yang padu, macam Dion Cools atau Chin (Richard Chin) baru naturalisasi itu tak tahu lah," tambah penyokong Gergasi Merah, Muhamad Faizal.

Tekaan pemain baharu itu muncul selepas khabar angin tonggak pertahanan, Khuzaimi Piee akan dipinjamkan ke kelab Utara Tanah Air, Penang FC pada waktu terdekat ini bagi mencari minit permainan.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa bekas pemain skuad Jang itu tidak menafikan khabar angin dirinya akan menyarung jersi baharu dan meminta agar mendoakan perkara yang baik untuknya.

“Bagi saya benda itu (khabar angin) bukan masalah untuk diri saya. Kita tahu ada lebih seminggu lagi untuk jendela kedua ini dan berharap tiada yang memberi tekanan kepada diri saya. Saya harap yang baik-baik buat saya untuk tahun ini," kata Khuzaimi.

Dalam pada itu, ada penyokong yang membuat tekaan berkemungkinan Selangor bakal menerima suntikan penaja baharu seperti minggu lepas apabila Gergasi Merah baru sahaja menjalin kerjasama dengan pembuat jam terkemuka Jepun, Casio Malaysia Sdn Bhd bersama pengedar rasminya di Malaysia, Marco Corporation (M) Sdn Bhd. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram