Final Piala FA: Arif Aiman bikin Esteban Solari pening kepala


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Solari mahu cipta rekod baharu bersama JDT musim ini. — Facebook/JDT

KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Estaban Solari, pening kepala untuk meletakkan Arif Aiman Hanapi di posisi terbaik menjelang aksi final Piala FA 2023 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Sabtu ini.

Sejak Solari mengambil alih pasukan itu hujung tahun lalu, pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman, kerap diletakkan di posisi penyerang utama atau penyerang sokongan, terutama pada separuh masa babak kedua.

Mengulas mengenai pemain berusia 21 tahun itu, Solari berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Bagi saya Arif bagus di setiap posisinya, jadi ia memberikan saya masalah untuk meletakkannya di posisi terbaik.

"Ia memerlukan satu penyelesaian yang besar dan adakalanya, ia bergantung kepada keperluan dalam satu-satu perlawanan.

"Berdasarkan apa yang diperlukan pasukan saya, kami boleh meletakkannya di posisi sebelah kanan, sebagai penyerang utama atau penyerang kedua.

"Dia seorang penjaring gol, jadi saya harap dia dapat meneruskannya, terutama dalam perlawanan final ini," katanya kepada Astro Arena.

Arif Aiman

Arif Aiman antara bintang tumpuan dalam final Piala FA. Facebook

Dalam pada itu, Solari turut teruja membimbing JDT untuk beraksi dalam pentas final sekali gus akan yang terbaik untuk memenangi piala kedua bersama Harimau Selatan musim ini.

"Ya ia satu perkara yang sangat indah, saya rasa ini pengalaman terbaik untuk tahun ini kerana kami bersaing dengan membawa nama Harimau Selatan.

"Kami rasa senang hati untuk berada di situasi itu (tanpa kalah), tapi ia juga tanggungjawab untuk kami terus maju ke hadapan dan mempunyai semangat untuk terus lakukan yang terbaik," ujarnya.

JDT sebelum ini sudah pun menewaskan KL City dengan keputusan 6-1 di halaman sendiri dalam perlawanan Liga Super pada 3 Julai lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram