Hanya miliki Fayadh sebagai 'wing' kiri, Sang Kenari ada hajat 'loan' wajah baharu


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Fayadh Zulkifli merupakan satu-satunya pilihan buat Kedah untuk posisi sayap kiri. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

SELEPAS membawa masuk Ifedayo Olusegun dan Moses Atede untuk baki musim 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat lebih bersedia dalam misi memburu slot ke Piala AFC musim depan.

Mereka ketika ini berada di tangga ketiga Liga Super dengan enam mata membezakan pasukan Utara tanah air tersebut daripada slot naib juara yang kini diisi Selangor FC.

Tetapi, harapan tersebut masih sukar untuk direalisasikan memandangkan masih terdapat kelemahan ketara yang perlu diperbaiki sementara jendela perpindahan masih dibuka.

Sekiranya diperhatikan kualiti skuad Sang Kenari, kualiti pemain sayap kiri yang dimiliki masih terlalu lemah sekiranya hendak dibandingkan dengan posisi lain.

361574564_812015607105762_1793275921065659769_n

Al Hafiz memilih untuk pulang ke skuad Harimau Kumbang secara pinjaman. Facebook/Penang FC

Ketika ini, Fayadh Zulkifli Amin merupakan satu-satunya pilihan yang boleh diletakkan Nafuzi Zain memandangkan Al Hafiz Harun sudah memilih untuk menyertai Penang FC secara pinjaman.

Jadi, dengan terdapat sekurang-kurangnya seminggu sebelum tempoh perpindahan berakhir, pihak pengurusan berpeluang untuk memperbaiki kelemahan ketara berkenaan.

Berdasarkan satu perkongsian daripada sumber dalaman terdekat Majoriti, terdapat langkah awal yang mula diatur KDA FC bagi menyelesaikan isu ketempangan pemain sayap kiri.

"Sekarang ni, hanya sedang menunggu seorang pemain sayap secara pinjaman dari pasukan lain. Untuk ditandatangani secara tetap tidak boleh kerana Kedah tidak mahu tebus," katanya.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak mahu menceritakan ciri-ciri pemain yang sedang diburu pasukan itu, sekali gus mencetuskan tanda tanya.

Melihat kepada landskap Liga Super, pemain Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman dan penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dilihat sebagai pilihan terbaik berdasarkan situasi masing-masing dengan kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram