Seakan-akan rindu Liga Turki, Jailton Paraiba seperti beri 'hint' mahu tinggalkan Sabah FC


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Antara aksi menarik pemain Sabah FC ketika dikawal ketat oleh Gergasi Merah. — Facebook/MFL

KEKALAHAN Sabah FC di tangan Selangor FC memberikan kesan mendalam kepada barisan pemain Sang Badak selepas gagal mengekalkan kemenangan ketika menewaskan Sri Pahang dengan keputusan 4-0 pada Sabtu lalu.

Idea Ketua Jurulatih Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe mencipta gandingan tiga hero iaitu Richmond Boakye, Ayron del Valle dan Faisal Halim membuahkan hasil selepas trio itu membantu kemenangan penting dengan keputusan 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.

Kegagalan Sabah FC membawa pulang tiga mata penuh di laman pihak lawan menimbulkan persoalan apabila penyokong mula mencari kelibat pemain import Brazil, Jailton Paraiba yang didakwa lama menyepi.

Kehilangan pemain kelahiran Brazil itu dianggap memberi kesan kerana skuad The Rhinos gagal menerjah jaring pasukan Gergasi Merah.

Ini kerana, ketika The Rhinos meraih kemenangan 2-1 menentang Selangor di Stadium Likas, Sabah pada 27 April lalu, Jailton diberi kepercayaan oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi bersama Sang Badak dan merupakan antara yang berjaya membawa kejayaan tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 22.44.33

Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/jailtonparaiba77

Bagaimanapun, menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadinya, Jailton Paraiba kelihatan seperti merindui untuk beraksi Liga Turki.

"Long time. I know what I am," katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum berhijrah ke Sabah FC, Jailton merupakan bekas pemain Genclerbirligi Ankara selama dua musim.

Hantaran tersebut seolah-olah memberi bayangan bahawa pemain berketinggian 1.66 meter sepertinya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC.

Atau boleh jadi dia hanya mengingati kembali perlawanan tersebut kerana merindui momen beraksi di Liga Turki suatu ketika dahulu.

Ini kerana, menerusi video yang dikongsikan itu, Jailton dilihat hanya memaparkan pertukaran jersinya bersama bintang Portugal iaitu Pepe.

2107151

Keadaan Jailton yang mengalami kecederaan ketika aksi Sabah menentang KDA FC pada 2 Jun lalu. — WhatsApp

Pada masa sama, penyokong Sang Badak masih menanti kehadiran Jaiton yang sudah menghilang selama empat perlawanan sebelum ini dan difahamkan nama pemain import The Rhinos itu tersisih daripada skuad Sabah FC.

Sebelum ini, Jailton mengalami kecederaan tidak dapat meneruskan permainan ketika menentang Kedah Darul Aman FC pada 2 Jun lalu kerana terpaksa diusung keluar untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran.

Dalam perlawanan tersebut, Jailton hanya beraksi selama 33 minit permainan kerana kecederaan yang dialami olehnya berikutan pelanggaran dengan salah satu pemain Sang Kenari.

Namun pada perlawanan menentang PDRM FC, pengendali Sabah FC, masih memberi kepercayaan kepada pemain berusia 32 tahun itu beraksi kembali namun tiada siapa yang menyangka bahawa ia merupakan aksi terakhirnya bersama Sang Badak setakat ini.

Bagaimanapun, Jailton sudah menjelaskan bahawa masih kekal bersama Sabah FC namun bukan sebagai kesebelasan utama tetapi hanya pemain simpanan pasukan Bawah 23 tahun (B-23).

Walaupun tidak mempunyai rekod jaringan namun pemain kelahiran Brazil itu mencatatkan lima hantaran bantuan dalam 14 penampilan Liga Super dan mengumpul 831 minit permainan untuk The Rhinos. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram