Cedera teruk ketika berdepan Kedah, Jailton Paraiba kini beri berita baik buat fans Sabah


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Jailton mempunyai sumbangan tersendiri di posisi sayap buat skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

SETAKAT separuh musim Liga Super 2023, Sabah FC meletakkan harapan cukup tinggi terhadap penyerang sayap untuk mendapatkan jaringan berdasarkan pendekatan taktikal ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Jadi, tidak hairanlah apabila mereka memiliki lambakan pemain di posisi tersebut, termasuk Saddil Ramdani, Farhan Roslan dan Jefri Firdaus Chew.

Keputusan berkenaan dilihat cukup baik memandangkan skuad Sang Badak sudah menjaringkan 41 gol selepas 18 perlawanan Liga Super yang meletakkan mereka di tangga kelima liga.

Bagaimanapun, pada Jun lalu, pasukan Borneo itu berdepan cabaran untuk bermain menurut perancangan Kim Swee apabila pemain import mereka, Jailton Paraiba mengalami kecederaan serius.

Hal tersebut berlaku ketika aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan apabila penyerang bertubuh kecil itu bertembung dengan pemain Sang Kenari, Bojan Ciger.

2107151

Jailton terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan yang dialaminya ketika berdepan KDA FC.

Kecederaan terbabit menyaksikan Jailton terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans yang disediakan apabila pihak perubatan Sabah FC tidak mahu perkara lebih serius terjadi.

Sejak itu, pemain berusia 32 tahun tersebut hanya diturunkan sebanyak sekali ketika perlawanan Liga Super berdepan PDRM FC sebelum dia lebih kerap digugurkan daripada skuad perlawanan.

Keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan pihak kejurulatihan tidak terburu-buru untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan kecederaan lebih teruk.

Namun, apa yang lebih merisaukan mengenai status Jailton adalah apabila kelibatnya tidak lagi kelihatan dalam sesi latihan skuad senior Sabah FC.

361885132_2389931544502184_3245293046692621199_n

Foto yang dikongsikan menampilkan Jailton (tengah) sudah kembali ke sesi latihan Sabah FC. Instagram/jailtonparaiba77

Tetapi, kegusaran tersebut akhirnya lesap selepas pemain berjersi no.77 berkenaan berkongsi sekeping foto di Instagram peribadinya pada Rabu.

Gambar yang dimuat naik itu memaparkan dia sedang bersama-sama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Sabah FC, sekali gus membuktikan tahap kecergasannya sudah semakin pulih.

Tetapi, setakat ini, Jailton masih belum diturunkan ketika perlawanan Piala MFL bersama skuad muda Sang Badak dengan pihak kejurulatihan tidak mahu terburu-buru meletakkannya dalam aksi kompetitif.

Kepulangan bekas penyerang Tokyo Verdy itu pastinya cukup dinanti-nantikan penyokong memandangkan pemain itu sudah mencipta lima bantuan jaringan dalam 14 penampilan Liga Super.

Tambahan pula, pengalaman yang dimiliki Jailton sepanjang kariernya pasti akan menjadi satu suntikan semangat buat Sabah FC yang bakal berentap di peringkat Asia tidak lama lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram