Gara-gara kehilangan Henderson, Liverpool dilapor berminat dapatkan sasaran utama Man United


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Khabar angin mengatakan kapten The Reds semakin hampir meninggalkan gergasi England itu. — Agensi

WALAUPUN sudah membawa masuk Dominik Szoboszlai dan Alexis Macallister, Liverpool masih memerlukan seorang lagi pemain tengah untuk mengharungi musim sukar 2023/24.

Ia berikutan pemergian kapten pasukan, Jordan Henderson yang menyertai kelab berpangkalan di Arab Saudi, Al-Ettifaq dengan nilai perpindahan sebanyak £13 juta (RM76.34 juta).

Ketika ini, tular khabar angin di media sosial mengatakan The Reds berminat untuk membawa masuk pemain tengah antarabangsa Maghribi, Sofyan Amrabat.

Jeneral tengah itu sedang giat dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United memandangkan dia pernah bermain di bawah kendalian pengurus The Red Devils, Erik ten Hag.

[1]_Sofyan_Amrabat_Fiorentina_2022-23

Amrabat mula menarik minat pasukan-pasukan sekitar Eropah. — Agensi

Bagaimanapun, dengan Manchester United tidak melakukan bidaan setakat ini, ia membuka pintu luas buat Liverpool yang pasti tidak akan melepaskan peluang membawa masuk Amrabat.

Tetapi, gosip perpindahan tersebut pantas dipadamkan ejen kepada pemain Fiorentina itu apabila dia lebih berminat untuk menyertai skuad The Red Devils.

Berdasarkan laporan media Itali, jeneral tengah itu mula dipancing tiga kelab sekitar Eropah, termasuk Liverpool dan Manchester United.

Namun, Liverpool dilihat sebagai salah satu destinasi yang sukar untuk direalisasikan memandangkan kelab itu dilaporkan lebih berminat mendapatkan pemain Southampton, Romeo Livia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram