LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney mencabar penyerang, Marcus Rashford perlu membawa kelab itu memenangi trofi jika dia mahu mencapai tahap Kylian Mbappe dan Erling Haaland.
The Red Devils mengumumkan Rashford telah menandatangani kontrak baharu selama lima tahun yang menjadikannya pemain dengan bayaran tertinggi berbanding pemain-pemain lain.
Rashford menjaringkan 30 dalam semua kejohanan sepanjang musim 2022/23 yang mana merupakan pulangan terbaik sepanjang karier sekali gus membawa United menjulang Piala Carabao dalam musim pertama Erik ten Hag sebagai pengurus.
Pemain antarabangsa England itu juga berjaya membawa gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke final Piala FA, tetapi mereka tewas dengan dua gol yang dijaringkan pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Wembley, London.
Rashford yang kini berusia 25 tahun sudah bermain 359 perlawanan untuk kelab itu dalam semua pertandingan, lapan tahun selepas bekas pengendali, Louis van Gaal menyerahkan penampilan sulungnya menentang FC Midtjylland dalam aksi Liga Eropah UEFA dengan dia menjaringkan dua gol untuk meraih kemenangan 5-1.
Tetapi, untuk mengukuhkan legasinya di United, dan meneruskan ke peringkat seterusnya, penjaring terbanyak United, Rooney menganggap Rashford mesti kerap memimpin kelab itu untuk kejayaan trofi.
"Saya rasa Marcus Rashford adalah bakat yang luar biasa. Saya gembira dia menandatangani perjanjian baharu," kata Rooney, yang kini menguruskan DC United di liga Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, bintang Manchester City, Erling Haaland yang menyambut ulang tahun ke-23 itu menjadi contoh kepada Rashford kerana usianya yang muda namun masih mampu memberikan trofi kepada kelabnya itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram