Fans Arsenal bergasak sesama sendiri lepas tewas dengan Man United


  • Podium
  • Isnin, 24 Jul 2023

Tangkap layar penyokong Arsenal mula bergaduh sesama sendiri di tempat penonton.

PERLAWANAN persahabatan pramusim berprofil tinggi Arsenal menentang Manchester United gagal memenuhi jangkaan berikutan aksi tersebut dicemari dengan peristiwa luar padang yang memburukkan keadaan.

The Gunners tewas 0-2 kepada seteru United selepas gol separuh masa pertama daripada Bruno Fernandes dan Jadon Sancho mengesahkan keputusan dalam masa 90 minit dalam aksi persahabatan di Stadium Metlife, New York pada awal pagi Ahad.

Malah, skuad kendalian Mikel Arteta itu terpaksa akur apabila kemenangan menerusi sepakan penalti turut memihak kepada pasukan Erik Ten Hag.

Meskipun keputusan perlawanan itu menghampakan kem Arsenal namun apa yang lebih mengecewakan ialah kelakuan beberapa penyokong Gunners semasa aksi pramusim tersebut.

Sebilangan besar penyokong Arsenal mula bergaduh sesama sendiri di tempat penonton dengan melemparkan tumbukan antara satu sama lain semasa perlawanan.

Terdapat dua peminat The Gunners mencederakan satu sama lain dengan teruk dan salah seorang daripada mereka mengalami pendarahan susulan pergaduhan fizikal itu.

Menerusi video tular di media sosial juga menunjukkan peminat Arsenal yang berada di sekeliling mereka juga mula bergasak sesama sendiri.

Sejurus selepas kejadian tersebut, kebanyakan peminat yang terlibat dalam pergaduhan beredar dari tempat kejadian sebelum staf stadium sempat meleraikan mereka.

Walaupun masih belum ada sebarang kenyataan mengenai punca sebenar pergaduhan namun ia bukanlah sesuatu yang patut berlaku pada perlawanan bola sepak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram