PERTAHANAN Ireland Utara, Jonny Evans, dikhabarkan bakal kembali ke pangkuan Manchester United dengan menandatangani kontrak jangka pendek dan berada dalam skuad pasukan itu bagi kempen pramusim mereka.
Evans, 35, membina nama di United sejak dari zaman remajanya dan telah berlatih bersama kelab itu sepanjang beberapa hari lalu selepas meninggalkan pasukan yang tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City.
Sebelum ini, terdapat spekulasi mengaitkan pertahanan veteran itu dengan Everton tetapi Evans kini menandatangani kesepakatan yang membenarkannya untuk menyertai perlawanan persahabatan pramusim menentang Lyon di Edinburgh pada Rabu.
Bek yang berpengalaman itu memiliki 102 penampilan antarabangsa bersama Ireland Utara, pernah mewakili United sebanyak 198 kali sebelum berpindah ke West Brom pada 2015.
Sepanjang di Old Trafford, Evans memenangi satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Dunia Kelab selain tiga gelaran EPL dan dua kejuaraan Piala Liga Inggeris. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram