Tewaskan Arsenal tapi Man United mungkin hilang khidmat penyerang sayap


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Amad dilihat menggunakan tongkat untuk berjalan selepas perlawanan. — Agensi

MESKIPUN hanya aksi pramusim namun kem Manchester United dipenuhi dengan senyuman selepas menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Metlife, New York pada awal pagi Ahad.

Kapten baharu United, Bruno Fernandes meledak satu gol, manakala Jadon Sancho merekodkan satu jaringan dengan posisi baharunya sebagai penyerang tengah.

Skuad The Red Devils bagaimanapun terpaksa menerima hakikat apabila kemenangan di bumi New York itu terpaksa menyaksikan tonggak sayap muda, Amad Diallo ditimpa kecederaan.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu masuk pada separuh masa kedua, tetapi hanya sempat beraksi dalam tempoh 10 minit apabila disahkan mengalami kecederaan selepas terjahan kasar daripada pemain lawan.

Amad dilihat berjalan dalam keadaan terhincut-hincut di luar padang dan Facundo Pellistri menggantikan posisi pemain yang dipinjamkan ke Sunderland pada musim lalu itu.

Pemain sayap itu dilihat menggunakan tongkat untuk berjalan dan memakai penutup pelindung di lutut kirinya selepas perlawanan.

Kecederaan tersebut bukanlah petanda yang baik untuk pemain berusia 21 tahun itu terutamanya apabila permulaan musim Liga Perdana 2023/24 akan berlangsung dalam masa beberapa minggu lagi.

Setakat ini,masih tidak diketahui berapa lama Amad mungkin berehat namun dia berharap kecederaan itu tidak seteruk sehingga memaksanya untuk berehat dalam tempoh yang lama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram