Belum buat pengumuman, tapi Kelantan FC 'kantoi' dapat import baharu


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Skuad TRW memerlukan khidmat pemain import untuk menambah baik kedudukan mereka dalam carta Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC

STURKTUR kewangan yang tidak kukuh menyaksikan Kelantan FC hanya memiliki dua pemain import, iaitu Nathaneal Siringoringo dan Leonardo Rolon untuk baki musim 2023.

Meskipun memiliki sembilan pemain luar sebelum ini, isu pengurusan dan kebajikan menyaksikan seorang demi seorang mencari angin baharu dalam karier masing-masing.

Lebih teruk lagi, ketua jurulatih, Alfredo Vera terpaksa meletakkan harapan cukup tinggi terhadap skuad muda yang tidak mempunyai pengalaman cukup dalam Liga Super.

Situasi terbabit pasti akan menyukarkan lagi usaha dalam merealisasikan sasaran pihak pengurusan yang mahu menamatkan kempen dalam kelompok 10 pasukan terbaik sempena kepulangan Kelantan FC ke divisyen teratas bola sepak tempatan,

Tetapi, setakat tiga perlawanan di bawah bimbingan pengendali kelahiran Argentina itu, mereka mempamerkan aksi lebih baik dan bersemangat berbanding awal musim lalu.

Dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini, skuad The Red Warriors (TRW) berjaya mencuri satu mata ketika berdepan Kuching City FC di tempat lawan.

Keputusan tersebut sedikit sebanyak memberi suntikan semangat buat penyokong dengan segelintir daripada mereka lebih tertarik untuk memberi sorakan kepada pasukan kesayangan mereka itu.

Jadi, untuk memastikan perubahan itu tidak disia-siakan, pihak pengurusan Kelantan FC difahamkan sedang berusaha keras untuk meningkatkan kualiti skuad.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 12.44.39

Kelibat Dennis kelihatan ketika di padang latihan skuad TRW yang kemudiannya diturunkan. Facebook/TRW Kelantan FC

Berdasarkan khabar angin di media sosial, terdapat kemungkinan bahawa lima pemain import baharu akan dibawa masuk sebelum jendela perpindahan kedua Liga Super ditutup.

Malah, hal berkenaan turut disahkan pemilik kelab, Norizam Tukiman yang mengatakan rundingan sedang berlangsung dengan bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan UiTM FC, Dennis Buschening.

Kehadiran graduan pasukan belia Borussia Dortmund itu dijangka memacu jentera serangan skuad TRW meskipun dia cukup dikenali dengan masalah kecederaan dan kecergasan sepanjang kariernya.

Tetapi, berita itu masih belum disahihkan mana-mana pihak dengan Kelantan FC pastinya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan yang dikhuatiri akan merugikan kelab.

Namun, pada Selasa, perkhabaran tergempar diterima penyokong apabila kelibat pemain kelahiran Jerman itu dapat dikesan ketika sesi latihan skuad TRW.

Berdasarkan sekeping foto yang dimuat naik, Dennis dilihat mengenakan jersi bernombor 23 sambil dikawal rapat pemain muda Kelantan FC.

Bagaimanapun, perpindahan itu masih belum dimeterai memandangkan pihak kelab masih belum memberikan sebarang kenyataan di samping pemain berusia 32 tahun tersebut masih terikat dengan pasukan Thailand, MH Nakhonsi.

Tambahan pula, hantaran berkenaan sudah diturunkan Kelantan FC, namun sempat disedari penyokong skuad TRW yang mengambil keputusan menangkap layar foto Dennis.

Sebelum ini, naib juara Liga Perdana 2022 tersebut difahamkan turut berminat untuk mendapatkan penyerang kelahiran Poland, Chris Jastrzembski berdasarkan khabar angin di media sosial.

Kehadiran seorang penyerang import dijangka menambah baik jentera serangan Kelantan FC yang hanya menjaringkan 19 gol dalam 17 perlawanan Liga Super sehingga kini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram