'Jangan lepaskan Boszam!' 3 permata baharu untuk hidupkan baki musim 2023


  • Podium
  • Isnin, 24 Jul 2023

Skuad TRW terpaksa meletakkan sandaran tinggi terhadap pemain muda untuk baki musim 2023. — Facebook/TRW Kelantan FC

ISU kewangan, pengurusan serta masa depan yang dialami Kelantan FC musim ini seperti tidak mempunyai titik noktah apabila tuntutan demi tuntutan mula dibuat pelbagai pihak.

Bekas pemain serta kakitangan merupakan antara yang paling lantang mengharapkan hak mereka dapat dikembalikan dengan desakan sering dibuat di media sosial.

Masalah tersebut jelas memberi kesan terhadap gaya permainan mereka sehingga mengakibatkan skuad The Red Warriors (TRW) terdampar di dasar Liga Super.

Lima mata yang dikutip hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri menyulitkan harapan pihak pengurusan yang berhasrat untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pasukan teratas.

Bagaimanapun, baru-baru ini, dilihat terdapatnya perubahan dari segi semangat serta kesungguhan pemain setiap kali mereka beraksi.

Meskipun hanya meletakkan harapan terhadap Nathanael Siringoringo sebagai satu-satunya penyerang import, tentangan yang diberikan kepada pihak lawan wajar diberikan pujian menggunung.

Tidak cukup dengan itu, ketua jurulatih, Alfredo Vera terpaksa menggunakan khidmat rata-rata pemain muda dengan hampir keseluruhannya dibawa masuk dari skuad Bawah 23 Tahun (B-23).

Hal itu menyebabkan timbul khabar angin di media sosial yang mengatakan beberapa kelab Liga Super berminat untuk menyambar permata-permata muda tersebut secara pinjaman mahupun secara tetap.

Ura-ura itu pasti akan mengakibatkan penyokong Kelantan FC resah memikirkan keadaan pasukan dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada awal Ogos depan.

Bagi mereka, terdapat tiga pemain yang perlu ditawarkan kontrak jangka masa panjang dalam usaha mengelakkan pencabar Liga Super dengan mudah menyambar khidmat masing-masing.

1. Johan Shahzidane

Sepanjang musim ini, kerapuhan benteng pertahanan ialah masalah utama yang dialami Kelantan FC sehingga memaksa pihak kejurulatihan melakukan penggiliran penjaga gol.

Nik Amin Ahmad, Farhan Abu Bakar dan Rozaimi Rahmat merupakan penjaga gol dimiliki kelab Pantai Timur itu, namun masing-masing gagal menampilkan aksi terbaik.

Bagaimanapun, situasi tersebut pantas berubah apabila ketika perlawanan Liga Super menentang Penang FC, penjaga gawang muda, Johan Shahzidane Tendot diberikan debut bersama skuad senior.

368496357_18384012088024287_8714001390008921309_n

Johan Shahzidane mempunyai potensi cukup baik sebagai seorang penjaga gol. Facebook/TRW Kelantan FC

Meskipun dibolosi sebanyak empat kali dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, ketangkasan serta keberaniannya menerima pujian bertali-arus daripada penyokong Kelantan FC.

Selain itu, dia juga sering didapati memberi arahan kepada rakan sepasukan walaupun masih kurang pengalaman dalam kalangan pemain senior.

Melihat kepada potensi yang dimilikinya, terdapat kemungkinan Johan akan terus diberikan peluang dalam kesebelasan utama dengan harapan rekod pertahanan mereka akan bertambah baik.

Walaupun kehadirannya seorang tidak akan membawa perubahan secara keseluruhan, ia masih dapat memberi satu titik perubahan untuk pasukan bergelut itu.

2. Harith Akif

Sejak awal musim lalu, skuad TRW perlu mengharapkan pemain import, iaitu Ismahel Akinade atau Miguel Cifuentes untuk mendapatkan jaringan.

Namun, sandaran tidak boleh diletakkan kepada mereka untuk baki musim 2023 apabila skuad TRW terpaksa akur dengan keputusan masing-masing yang menamatkan kontrak lebih awal.

Jadi, alternatif perlu diberikan untuk mendapatkan jaringan dalam usaha pasukan itu menambah baik kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

Bagaimanapun, baru-baru ini, muncul seorang permata di posisi menyerang yang diturunkan buat kali pertama ketika aksi liga berdepan Penang FC.

358605597_836492834877643_3550730749404461048_n

Harith boleh dianggap sebagai permata baharu Kelantan FC. Facebook/TRW Kelantan FC

Penyerang muda, Harith Akif Shahar mula menjadi bahan bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air selepas mempamerkan bakatnya.

Dia yang mempunyai tiga gol peribadi bersama skuad TRW Piala MFL diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali dalam Liga Super buat pertama kali dalam kariernya.

Keputusan tersebut dilihat cukup membuahkan hasil apabila dia memperolehi dua jaringan, namun gagal membawa pulang sebarang mata dalam perlawanan itu.

Selain mempunyai kelincahan tersendiri, Harith juga cukup berani dalam melakukan percubaan meskipun ia masih belum memberi gol ketiga peribadi buatnya.

Gaya permainan itu menjadikan beberapa pasukan mula menaruh minat terhadapnya dengan struktur kewangan Kelantan FC yang lemah akan memudahkan proses tersebut.

3. Hafizan Ghazali

Awal musim lalu, peranan kapten Kelantan FC lebih kerap diberikan kepada pemain tengah, Mario Arques atau bek tengah, Yusri Yuhasmadi dengan masing-masing cukup disenangi dalam kalangan penyokong.

Tetapi, memasuki separuh musim, terdapat persoalan mengenai individu terbaik untuk memakai lilitan tangan kelab dengan Arques sudah meninggalkan pasukan sementara Yusri terus mengecewakan di atas padang.

Jadi, untuk perlawanan menentang Kuching City baru-baru ini, Alfredo Vera memilih untuk memberikan peranan berkenaan kepada pemain berusia 20 tahun, Hafizan Ghazali.

WhatsApp Image 2023-07-24 at 01.25.23

Hafizan diberikan peranan sebagai kapten ketika aksi menentang Kuching City FC. Facebook/TRW Kelantan FC

Tugasan itu digalas dengan cukup baik memandangkan dia beraksi dengan cukup yakin dan bersemangat, sekali gus meningkatkan moral rakan sepasukan.

Di samping itu, jaringannya yang meroket pada separuh masa pertama membolehkan skuad TRW berada di hadapan dengan ia cukup diraikan pemain serta staf kejurulatihan skuad.

Tetapi, dengan Hafizan jarang mendapatkan minit permainan, dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-59 permainan supaya seorang lagi pemain muda, S Kala Arasu berpeluang di atas padang.

Sumbangan itu menyebabkan khabar angin muncul di media sosial mengatakan beberapa pasukan sedia mendapatkan khidmatnya, namun ia dapat dihalang sekiranya kontrak jangka masa panjang ditawarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram