Aidil Sharin bakal kembali ke Liga Super, 3 kelab berpotensi jadi pilihan


  • Podium
  • Isnin, 24 Jul 2023

Aidil meninggalkan kelab lamanya di Indonesia, Persikabo atas sebab keluarga. — Agensi

WALAUPUN berasal dari Singapura, nama Aidil Sharin sememangnya sudah tidak asing lagi dalam arena bola sepak tanah air.

Hal itu kerana bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDAFC) berjaya membawa skuad Sang Kenari kembali selaku salah satu pasukan elit di Malaysia suatu ketika dahulu.

Malah dia juga dianggap penyokong Hijau Kuning sebagai salah seorang pengendali terbaik pernah dimiliki pasukan tersebut.

Jodoh Aidil bersama KDAFC tidak lama pada musim lalu yang mana jurulatih berusia 46 tahun itu membawa haluan baharu setelah dilamar Persikabo sebagai pengendali baharu pasukan berkenaan.

Pada ketika itu, pihak pengurusan skuad Sang Kenari terpaksa menamatkan kontraknya selepas pasukan itu gagal mempamerkan aksi yng terbaik dan hanya menduduki tangga kelapan carta Liga Super musim lalu.

Terbaharu, arena bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita Aidil akan kembali ke Liga Malaysia mengendalikan sebuah pasukan menjelang perpindahan jendela kedua nanti.

Difahamkan, Aidil meninggalkan kelab lamanya di Indonesia, Persikabo atas sebab keluarga.

Pengumuman mengejut ini dibuat Laskar Padjajaran dalam satu hantaran di laman media sosial rasmi pasukan pada Ahad.

Sehubungan itu, berdasarkan situasi semasa, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang sesuai memerlukan khidmat Aidil.

1. Terengganu FC (TFC)

359445400_261522206589221_1356587255039639932_n

Taktikal dan strategi diturunkan Tomislav dalam TFC itu kurang menyengat sekali gus menjadikan ada segelintir penyokong berasa muak dengan jurulatih itu. — Facebook/TFC

Sebelum ini, Aidil pernah dikaitkan akan menjadi jurulatih pasukan tersebut sebelum pihak pengurusan skuad Sang Penyu menafikan khabar angin tersebut.

Namun, jika melihat kepada prestasi tidak konsiten yang dipamerkan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pada ketika ini, wajarlah jurulatih daripada Crotia itu digantikan Aidil.

Pelbagai faktor yang menjadi punca kejatuhan skuad itu pada musim ini dengan posisi jentera serangan pasukan menjadi topik bualan utama dalam kalangan peminat yang mahukan perubahan dilakuakn pengurusan TFC menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Selain daripada posisi pemain, taktikal dan strategi diturunkan Tomislav dalam skuad itu kurang menyengat dan berkesan sekali gus menjadikan ada segelintir penyokong berasa muak dengan jurulatih itu.

Sehubungan itu, berbekalkan pengalaman serta kefahaman Aidil dengan corak permainan di Liga Malaysia (M), penyokong yakin dengan kemasukannya mampu membawa perubahan dalam skuad Sang Penyu sekali gus memperbaiki kedudukan di carta musim ini.

2. Kuching City FC

361900145_790038519680915_3911174183962256525_n

Irfan Bakti Abu Salim meninggalkan pasukan pada minggu lepas susulan kemerosotan prestasi The Cats dalam Liga Super musim ini. —Facebook/ KuchingCityFC

Kuching City FC tidak mempunyai jurulatih selepas Irfan Bakti Abu Salim meninggalkan pasukan pada minggu lepas susulan kemerosotan prestasi The Cats dalam Liga Super musim ini.

Dengan Il Gatto ketika ini dilatih oleh jurulatih sementara Firdaus Morshidi, pengurusan kelab pastinya mencari seorang jurulatih yang dapat membantu mereka keluar dari kelompok tercorot liga.

Jika melihat kepada prestasi Aidil bersama kelab Liga 1 Indonesia itu, dia merupakan calon yang sesuai untuk mengendalikan skuad The Cats yang pada ketika ini berada di ke-12 carta Liga Super.

Malah, wartawan The Star, T. Avineshwaran menerusi ciapan Twitternya pada Isnin menguatkan lagi dakwaan mengatakan bahawa Aidil akan berhijrah ke Kuching City FC.

3. Negeri Sembilan FC

Devan perlu mengubah situasi semasa Negeri Sembilan FC dengan segera jika mahu kekal berada di kerusi panas kelab itu.

Devan perlu mengubah situasi semasa Negeri Sembilan FC dengan segera jika mahu kekal berada di kerusi panas kelab itu. — Facebook/NSFC

Skuad Hobin Jang Hobin pada ketika ini dilihat sebagai salah satu pasukan yang bergelut untuk bersaing dalam mengharungi baki saingan Liga Super.

Berada di tangga kesembilan carta Liga Super, pasukan tersebut hanya mampu mengumpul 20 mata sepanjang 17 permainan.

Selain itu, ketiadaan pemain yang mempunyai kualiti di posisi masing-masing sememangnya menyukarkan usaha mereka bagi sekurang-kurangnya mendapatkan rentak di atas padang.

Pada masa sama, ada dalam kalangan penyokong yang mula menuding jari menyalahkan ketua jurulatih, K Devan yang dikatakan tidak mempunyai perubahan terhadap gaya permainannya.

Jurulatih berusia 62 tahun itu dilihat tidak lagi relevan menggalas tugas pasukan tersebut selepas beberapa siri kekalahan.

Lebih memalukan, pasukan tersebut hanya mampu mencatat keputusan seri 3-3 dengan Kelantan United pada perlawanan yang berlangsung 23 Mei lalu.

Sehubungan itu, sekiranya pasukan tersebut ingin kekal bersaing dengan pasukan yang lain, ada dalam kalangan penyokong mendesak menggugurkan Devan dan digantikan dengan seorang jurulatih baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram