Kemarahan mula reda, tapi fans TRW ada 5 mesej penting buat Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Kelantan FC dapat tersenyum semula apabila mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Kuching City FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

PENANTIAN selama 126 hari untuk mendapatkan mata dalam Liga Super Kelantan FC terhenti apabila mereka mencatatkan satu mata ketika berdepan Kuching City FC.

Keputusan seri itu dicatatkan apabila gol daripada Hafizan Ghazali dan Nathaneal Siringoringo membatalkan kelebihan yang dimiliki skuad The Cats dengan dua jaringan peribadi Abu Kamara.

Satu mata tersebut bagaimanapun tidak membawa sebarang perubahan terhadap kedudukan mereka dalam carta liga dengan kelab Pantai Timur itu berada di kedudukan ke-14.

Namun, bagi penyokong skuad The Red Warriors (TRW), terdapat satu angin berbeza yang dapat dirasakan mengenai pasukan yang amat bergelut dari segi pengurusan musim ini.

Meskipun hanya menurunkan pemain muda yang rata-rata berada dalam kelompok Bawah 23 Tahun (B-23), persembahan untuk setiap perlawanan seperti lebih bersemangat.

Selain itu, kehadiran ketua jurulatih baharu, Alfredo Vera boleh dianggap sebagai titik perubahan dengan pengendali itu cukup mahir dari segi taktikal.

Ia seakan-akan memberi satu tarikan semula buat peminat setia kelab untuk kembali memberi sorakan buat Kelantan FC memasuki separuh kedua musim 2023.

333320866_516732313977937_3815440002501730052_n

Penyokong skuad TRW mula memberi sokongan kembali kepada pasukan itu. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagaimanapun, bagi segelintir penyokong pasukan, masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan sekiranya skuad TRW mahu menerima sokongan tidak berbelah bahagi.

Seorang pengikut setia, Akmal Hakim berkata, lima isu penting sewajarnya diberikan perhatian, baik dari segi pemain atau barisan kejurulatihan.

"Cukup bernasib baik tiada penyingkiran musim ini jadi ia adalah peluang untuk menguji pemain muda untuk dipilih ke skuad lengkap musim 2024.

"Lima import berkualiti diperlukan di posisi kritikal untuk melengkapkan skuad ini di musim depan. Selain itu, perlu kekalkan pemain muda yang dilihat mampu bersinar.

"Jika tidak mampu untuk kekalkan beberapa pemain muda berkualiti ini, maka bolehlah dianggap ia sebuah pengurusan yang tidak berguna. Kekalkan Alfredo dan Ringoringo," katanya.

Sebelum ini, terdapat penurunan ketara dari segi kehadiran penyokong ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan akibat isu di atas padang serta hubungan tegang dengan pemilik kelab, Norizam Tukiman.

Ia pasti menjadi satu tamparan buat pihak pengurusan memandangkan duit hasil jualan tiket merupakan salah satu sumber kewangan terbesar buat Kelantan FC.

Ketika ini, skuad TRW dibarisi pemain berpotensi seperti penyerang, Harith Akif Shahar dan penjaga gawang, Johan Shazidane yang sering diberikan kepercayaan.

Mereka bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada 29 Julai di Stadium Cheras, KL dengan kemenangan bakal menyaksikan kelab itu mendaki ke tangga ke-13. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram