SELANGOR FC berjaya melakar kemenangan tipis ke atas Sabah FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.
The Red Giants mengambil peluang beraksi cemerlang di laman sendiri dengan misi untuk membalas dendam selepas kekalahan 1-2 di Stadium Likas, Sabah pada April lalu.
Jentera serangan yang diketuai oleh Ayron de Valle berjaya membuka tirai jaringan selepas penyerang itu menyempurnakan umpanan Richmond Boakye pada minit ke-23 sekali gus menyumbang tiga mata penting buat Gergasi Merah.
Sekitar aksi antara pemain Sang Badak, Stuart Wilkin dan Gergasi Merah. — Facebook/MFL
Walaupun tewas di tangan Selangor, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya itu.
"Pasukan Sabah bermain dengan baik ketika menentang Sri Pahang di laman sendiri, sudah pasti ia bukan keputusan yang baik untuk perlawanan kali ini, tapi kami cuba untuk membuat serangan semula pada masa kedua dan ia merupakan satu sikap positif yang ditampilkan oleh mereka.
"Pada perlawanan masa kedua, kami memberi tekanan kepada Selangor namun gagal mendapatkan gol kerana Selangor antara pasukan yang sukar untuk ditewaskan," katanya.
Selain itu, pengendali Sabah FC turut tampil mempertahankan dua tonggak utama Sang Badak iaitu Dominic Tan dan pemain tengah, Stuart Wilkin yang sering menjadi buah mulut penyokong tanah air mengenai prestasi mereka.
"Seperti yang kita tahu, Dominic dan Stuart telah bermain bola sepak semenjak Piala AFF Suzuki dua tahun lalu dan mereka kembali beraksi untuk kelab dan turut memberikan khidmat kepada skuad kebangsaan.
"Saya rasa mereka sangat penat dan kita perlu mempertimbangkan tentang perkara tersebut sebab apabila mereka bekerjasama sekali lagi dalam satu pasukan, pasti mereka akan bermain bola berterusan sehingga 2024 berakhir, penyokong tidak perlu menjangkakan yang mereka akan beraksi dengan baik," kongsinya.
DOKS juga berharap anak buah kendaliannya akan tampil dengan lebih cemerlang pada perlawanan seterusnya untuk kekal berada pada kedudukan tiga terbaik liga.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe juga memuji prestasi yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya yang mencuba untuk mendapatkan kemenangan walaupun berhadapan dengan salah satu pencabar utama Liga Super selain mengambil kira beberapa posisi yang perlu penambahbaikan.
"Ayron de Valle, Faisal Halim dan Richmond Boakye merupakan kombinasi tiga tonggak Selangor FC yang bermain dengan sangat baik.
"Melihat kepada keseluruhan perlawanan, Selangor perlu sentiasa fokus dan masih ada yang perlu diperbaiki iaitu bahagian serangan dan tengah," katanya.
Cheng Hoe turut memuji persembahan juara bertahan Piala FA 2023, Johor Darul Takzim (JDT) kerana sering menjadi contoh pasukan terbaik di Liga Malaysia (Liga-M).
"Saya rasa semua orang tahu kekuatan JDT, mereka berada dalam satu tahap yang berlainan, baik di Liga Super atau Piala FA.
"Kita perlu bekerja keras untuk pastikan kita mampu bersaing dengan JDT kerana kalau kita perhatikan, apabila JDT bermain di laman sendiri mereka sangat bersemangat dan sudah pasti kita perlu perancangan yang baik pada perlawanan nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram