Mbappe 'terlepas flight', tidak bersama skuad jelajah Asia PSG


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Penyerang berbisa PSG, Kylian Mbappe. — Instagram/k.mbappe

PENYERANG Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe tidak termasuk dalam skuad itu untuk jelajah pramusim Asia mereka berikutan terdapat laporan yang mengatakan bahawa dia akan dilepaskan oleh pasukan Ligue 1 itu.

Hubungan antara Mbappe dan PSG menjadi tegang sejak penyerang Perancis itu mendedahkan bahawa dia tidak akan menyambung kontraknya yang akan tamat pada akhir musim.

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berkata, mereka tidak akan melepaskannya secara percuma selepas kelab itu membelanjakan 180 juta euro ($200 juta) untuk menandatanganinya.

Menurut laporan media, kelab Paris itu akan melepaskan pemain berusia 24 tahun itu kerana Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Sepanyol, Real Madrid secara percuma pada musim panas akan datang.

PSG telah memenangi sembilan daripada 11 kejuaraan Ligue 1 terakhir, tetapi gagal mendapatkan trofi yang tidak pernah dimenangi oleh kelab Paris tersebut, iaitu Liga Juara-juara UEFA (UCL).

PSG tersingkir pada pusingan 16 terakhir tahun ini apabila mereka dikalahkan oleh Bayern Munich dan gagal menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan.

Penyerang Brazil Neymar yang merupakan satu lagi nama besar dijangka akan meninggalkan kelab itu bagaimanapun sudah dimasukkan ke dalam skuad kendalian Luis Enrique yang akan menentang pasukan diwakili Cristiano Ronaldo, Al Nassr pada Selasa di Jepun.

PSG juga akan menentang Cerezo Osaka dari liga Jepun dan kelab Serie A, Inter Milan sebelum bertandang ke Korea Selatan untuk menentang Jeonbuk Motors. — Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram