'Goodluck my family', skuad TRW bakal diperkuatkan penyerang import Poland?


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Sebahagian aksi Liga Super menarik antara barisan pemain Kuching City dan Kelantan FC pada Jumaat. — Facebook/MFL

PERTEMBUNGAN antara Kuching City FC dan Kelantan FC menyaksikan kedua pasukan itu terpaksa berpuas hati apabila sekadar berkongsi satu mata dalam aksi minggu ke-17 Liga Super 2023 pada Jumaat.

Pada babak pertama, kapten pasukan Kelantan FC, Muhammad Hafizan Ghazali mengejutkan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan dengan sepakan kencang pada minit keempat.

Penyerang berbisa Kuching City, Abu Kamara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-58 dan terus mencatat gol kedua 10 minit kemudian menerusi sepakan penalti.

Namun begitu, jaringan percuma Natanael Siringoringo meranapkan impian The Cats untuk menamatkan kemarau 15 perlawanan tanpa kemenangan selepas terikat dengan keputusan 2-2 di Stadium Negeri, Sarawak pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-07-22 at 10.11.35

Tangkap layar hantaran tersebut di Instagram. — Instagram/trwkelantanfc

Bagaimanapun, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa pasukan The Red Warriors (TRW) difahamkan bakal membawa masuk seorang pemain baharu bagi memperkuatkan skuad itu untuk menghadapi baki saingan liga musim ini.

Menjengah ruangan komen Instagram milik @trwkelantanfc, pemain tersebut meninggalkan satu komen sekali gus mengaitkan bahawa dia merupakan muka baharu TRW.

Pemain yang dikenali sebagai Chris Jastrzembski itu memberi bayangan bahawa akan menyertai pasukan TRW selepas memberikan kata-kata semangat kepada Kelantan yang berdepan Kuching City bagi aksi Liga Super ke-17.

Good luck my family”, katanya di ruangan komen Instagram TRW Kelantan FC.

Pertahanan tengah berusia 26 tahun itu kini berstatus sebagai ejen bebas yang memiliki profil cukup baik sebagai pemain selepas kali terakhir beraksi di Finland bersama TB Tvøroyri di Faroe Island.

Dia juga merupakan pemain versatil yang boleh beraksi pada beberapa posisi penting di bahagian pertahanan dan selesa dengan kawalan bola yang bagus.

Jastrzembski juga difahamkan merupakan bekas pemain pasukan kebangsaan Poland bawah 17 dan 19 tahun selepas melakukan debut pada 2014.

Bekas pemain Divisyen ke-6 Jerman bersama Husumer SV itu telah membantu skuad muda Poland mengharungi Kelayakan EURO bawah 19 tahun dan beraksi dalam beberapa perlawanan di peringkat bawah 19 tahun Poland.

Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kedua-dua belah pihak namun pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman sudah mengesahkan bahawa akan ada sekurang-kurangnya enam muka baharu bakal dibawa masuk.

Dengan keputusan seri itu, Kuching City kini naik satu anak tangga selepas memintas Kelantan United FC untuk berada di kedudukan ke-12 liga dengan tujuh mata, manakala Kelantan kekal di tangga tercorot dengan lima mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram