[VIDEO] 'Jangan main hembus', IJF tepis dakwaan buat kecoh di SSI sehingga paksa kolonel turun padang


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Seorang pegawai tertinggi JMF dilihat terpaksa masuk campur untuk mengelak suasana di stadium menjadi lebih buruk.

KEMENANGAN bermakna diraih Johor Darul Takzim (JDT) dalam pentas akhir Piala FA 2023 pada Ahad apabila mereka menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu menyaksikan pertarungan sengit daripada kedua-dua pasukan apabila keputusan terikat pada separuh masa perlawanan.

Namun, jaringan kencang Hong Wan serta gol daripada Leandro Velazquez menyaksikan JDT membawa pulang Piala FA untuk dua musim berturut-turut.

Momen itu pastinya diraikan ribuan penyokong Harimau Selatan yang membanjiri stadium itu dengan kemeriahan dapat dirasai seawal minit pertama permainan.

Tetapi, di sebalik kegembiraan itu, tercetus beberapa insiden menjengkelkan antara pengikut setia JDT dan KL City FC sepanjang perlawanan berlangsung.

Berdasarkan klip yang kini membanjiri media sosial, berlaku peperangan mulut antara penyokong kedua-dua pasukan sehingga memaksa marshal stadium mengambil tindakan tegas.

Lebih menarik lagi, terdapat rakaman yang memaparkan anggota tertinggi daripada Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) terpaksa turun untuk mengelak situasi buruk tercetus.

Menurut informasi yang diterima, pegawai tersebut merupakan Pembantu Ketenteraan (ADC) kedua kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris yang berpangkat Leftenan Kolonel.

Insiden terbabit sekali gus menyebabkan peminat bola sepak tanah air menunding jari ke arah golongan kasual yang cukup dikenali dengan tingkah laku buruk setiap kali turun ke stadium.

Melihat kepada kedua-dua finalis Piala FA itu, masing-masing mempunyai sejarah buruk dengan kumpulan penyokong terbabit dengan Inter Johor Firms (IJF) amat sinonim dengan kelab Selatan tanah air itu sementara skuad Warga Kota sering dikaitkan dengan Casual KL.

Selain mencetuskan beberapa kontroversi di luar stadium, mereka juga sering mengganggu ketenteraman sehingga memberikan ancaman kepada penyokong yang lain.

362626729_679306884233945_477926426148754368_n

Foto yang dikongsikan IJF di luar SSI ketika perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan KL City FC. Facebook/IJF

Bagaimanapun, bagi menjawab tuduhan-tuduhan itu, IJF bertindak mengeluarkan kenyataan di Facebook rasmi mereka dengan menceritakan bahawa mereka tidak berada di Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan itu berlangsung.

"Kami sendiri dihalang oleh marshall dan pasukan JMF daripada memasuki stadium walaupun kami mempunyai tiket yang sah.

"Mana-mana yang cakap kami ni ada dalam stadium, bolehlah rujuk gambar dan video di bawah," tulis kumpulan penyokong itu sambil menyertakan sekeping foto di luar perkarangan stadium.

Keputusan untuk menghalang kemasukan mereka itu dilihat berpunca daripada tindakan awal pihak pengurusan kelab untuk memastikan suasana sepanjang aksi akhir tersebut tidak menjadi tragedi.

"Mana-mana yang waras, boleh bezakan gaya pemakaian kami malam tadi. Video-video kekecohan pun dah tular di Facebook dan TikTok.

"Silakanlah buat perbandingan. Jangan main hembus. Apa yang berlaku kat dalam langsung takda kaitan dengan kami," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram