MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad yang lazimnya hari bekerja di negeri itu.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan ia adalah sempena kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang KL City FC 2-0 di pusingan akhir Piala FA, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Katanya, pengumuman tersebut dibuat berdasarkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau dalam kenyataan sama turut menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas segala perancangan serta usaha berterusan dalam membangunkan JDT menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani di Malaysia dan di rantau Asia.
"Kemenangan skuad Harimau Selatan ini merupakan piala kedua untuk tahun 2023, setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini, serta Piala FA ketiga buat JDT, selepas tahun 2016 dan tahun 2022.
"Buat semua peminat JDT, teruslah memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk setiap perlawanan yang akan datang," katanya pada Sabtu.
Majoriti pada Sabtu melaporkan pasukan JDT menepati ramalan ramai apabila muncul juara Piala FA untuk dua tahun berturut-turut selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama meskipun terdapat beberapa peluang keemasan dipamerkan sepanjang 45 minit permainan.
Skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan menerusi pemain tengah muda, Hong Wan yang berhasil menjaringkan gol pada minit ke-66 manakala gol kemenangan daripada Leandro Velazquez, kira-kira lapan minit kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram