BEKAS pemain prolifik Sabah FC, Baddrol Bakhtiar terus menyatakan hasrat untuk memberikan sepenuh komitmen untuk melibatkan diri dalam dunia politik menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Kedah pada Ogos depan.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi IG Story milik @ahmadyusof_ pada Selasa memaparkan Baddrol bersama tiga individu lain iaitu Imam Masjid Al Busyra Merbok, Kedah, Firdaus Firabib; Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad), Mohammad Yaakub Yusra dan pempengaruh TikTok, Ahmad Mohd Yusof.
Dalam pada itu, Firdaus menerusi akaun Instagramnya pula berseloroh ingin menawarkan Baddrol menjadi pemain bola sepak mewakili masjidnya.
"Nak offer jadi player Masjid Al Busyra, okey tak?," katanya.
Pada Jumaat lalu, Majoriti melaporkan pengumuman mengenai pemain tengah merangkap kapten pasukan The Rhinos itu meninggalkan Sabah FC.
Kelab itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut diambil melalui persetujuan bersama Baddrol atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Timbul desas-desus mengatakan keputusan itu diambil Baddrol atau lebih dikenali sebagai Kapten Marvel kerana ingin bertanding dalam PRN tidak lama lagi.
Baddrol juga dipercayai sudah disenarai pendek untuk menjadi calon Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber dalaman gabungan parti yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, bekas kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tersebut difahamkan sememangnya sudah berdaftar sebagai ahli PAS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram